EKONOMI

PM Australia Akan Berbincang Dengan Petronas Mengenai Kerjasama Tenaga - PM Anwar

16/04/2026 04:01 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese akan mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memacu kerjasama dalam bidang tenaga antara Malaysia dan Australia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebagai rakan kerjasama yang erat, Malaysia dan Australia berkongsi hubungan dua hala yang kukuh dan akan terus memberi keutamaan kepada perbincangan pada peringkat operasi.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Petronas dan perbincangan lanjut yang lebih terperinci akan diteruskan,” kata beliau pada sidang media sempena lawatan rasmi Albanese ke Malaysia di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas Anwar mengadakan pertemuan dengan Albanese, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan menangani cabaran keselamatan tenaga yang meningkat dalam ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Terdahulu, Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini sempena lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dari 15 April.

Anwar berkata kedua-dua negara akan menilai keperluan tenaga domestik masing-masing dan meneroka bidang yang membolehkan mereka saling menyokong atas dasar manfaat bersama.

“Terdapat sumber yang kita perlukan dari Australia dan begitu juga Australia memerlukan produk dari Malaysia. Kerjasama ini akhirnya akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata beliau.

Albanese dijadualkan bertemu dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik di Menara Berkembar Petronas hari ini.

Anwar berkata Malaysia turut menyuarakan kebimbangan kepada Australia mengenai bekalan diesel, terutamanya kekangan dalam jangka sederhana.

Bagaimanapun, beliau berkata Petronas memberi jaminan bahawa bekalan yang berlebihan akan dibekalkan selepas memenuhi keperluan domestik, dengan keutamaan diberikan kepada Australia.

“Sudah tentu, keperluan domestik dan daya tahan ekonomi kekal sebagai pertimbangan utama kami. Bagaimanapun, melalui kerjasama yang erat dan persefahaman bersama, kedua-dua negara boleh menyokong keperluan masing-masing,” kata beliau.

Anwar berkata Australia juga memberi jaminan kepada Malaysia mengenai bekalan gas asli cecair (LNG) yang berterusan selaras dengan perjanjian sedia ada.

“Pendekatan timbal balik ini mencerminkan kekuatan kerjasama kami serta kedua-dua pihak menghormati komitmen dan memenuhi keperluan masing-masing,” kata beliau.

Sementara itu, Albanese menegaskan bahawa Australia akan melaksanakan komitmen sedia ada untuk membekalkan LNG kepada Malaysia, menyifatkan keselamatan tenaga sebagai komponen penting dalam hubungan dua hala dan kestabilan serantau.

“Hubungan ini saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Australia merupakan pengeksport utama LNG ke Malaysia manakala kami mengimport pelbagai produk dari Malaysia termasuk bahan api dan baja.

“Antara bidang utama yang dibincangkan ialah potensi untuk meningkatkan lagi hubungan ini. 

“Kami telah memberikan tanggungjawab kepada Petronas dan pihak berkuasa Australia yang berkaitan untuk meneruskan perbincangan bagi terus memperkukuh kerjasama dalam mendepani cabaran tenaga global yang berterusan,” kata beliau.

-- BERNAMA 

 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545595