Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 15 April (Bernama) -- Singapura menekankan keselamatan tenaga sebagai keutamaan mendesak bagi negara Asia susulan konflik yang berterusan di Asia Barat, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Perkara itu disampaikan ketika Wong menyertai pemimpin serantau lain dalam Sidang Kemuncak Komuniti Asia Pelepasan Sifar (AZEC) Plus secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Jepun Takaichi Sanae pada Rabu.
Dalam hantaran di Facebook, Wong menegaskan bahawa Asia amat terdedah berikutan pergantungan tinggi terhadap tenaga import yang melalui Selat Hormuz.
“Anggota AZEC bersetuju untuk meningkatkan usaha memperkukuh daya tahan tenaga serantau -- dengan mempelbagaikan sumber, menjamin rantaian bekalan dan memperdalam kerjasama dalam kalangan rakan kongsi.
“Matlamat kami adalah untuk membina sistem tenaga yang bukan sahaja lebih bersih, tetapi juga lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Wong dipetik sebagai berkata bahawa Singapura sebagai sebuah negara perdagangan akan memudah cara kelancaran aliran barangan penting dengan memastikan pelabuhan serta rangkaian perdagangannya kekal beroperasi.
“Sebagai hab maritim, kami akan terus mempertahankan hak dan kebebasan pelayaran seperti termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, yang membolehkan aliran perdagangan global berjalan lancar merentasi laluan laut kritikal,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
Dalam ucapannya, Wong turut mengalu-alukan pakej bantuan bernilai US$10 bilion (US$1=RM3.95) yang dilancarkan Takaichi bagi menyokong negara Asia yang berdepan lonjakan harga minyak mentah susulan ketegangan di Asia Barat.
Beliau berkata pakej itu akan menyediakan sokongan tepat pada masanya dan bersifat praktikal kepada negara Asia untuk memperkukuh rantaian bekalan tenaga mereka.
“Pada masa sama, kita perlu melihat melangkaui krisis semasa untuk bersedia menghadapi kejutan pada masa hadapan,” tambah Wong.
-- BERNAMA