DUNIA

PM Jepun Ikrar Bantuan Kewangan US$10 Bilion Kepada Asia Tangani Kekurangan Minyak

15/04/2026 11:36 PM

TOKYO, 15 April (Bernama-Kyodo) -- Jepun akan menyediakan sokongan kewangan berjumlah US$10 bilion kepada negara-negara Asia lain bagi membantu mereka menjamin bekalan minyak mentah masing-masing, kata Perdana Menteri Sanae Takaichi pada Rabu, lapor Kyodo News.

Langkah itu diambil susulan gangguan penghantaran tenaga yang berpunca daripada ketegangan di Asia Barat.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat dalam talian bersama rakan sejawatnya dari ASEAN dan pemimpin lain, Takaichi berkata bantuan kewangan yang dirancang itu adalah bersamaan sehingga 1.2 bilion tong minyak, kira-kira setahun import minyak mentah oleh negara-negara anggota ASEAN.

“Jepun mempunyai hubungan rapat dengan setiap negara Asia melalui rantaian bekalan dan saling bergantung antara satu sama lain,” kata Takaichi kepada pemberita, sambil menambah bahawa kekurangan minyak atau gangguan bekalan di Asia boleh memberi “kesan negatif yang ketara” terhadap ekonomi dan masyarakat negaranya.

Jepun mengimport produk berasaskan petroleum dari Asia Tenggara, termasuk barangan yang digunakan di kemudahan perubatan.

Banyak negara di rantau itu mengekalkan rizab minyak yang terhad, justeru timbul kebimbangan bahawa kekurangan bekalan akhirnya boleh menjejaskan penghantaran ke Jepun.

Lonjakan harga minyak susulan perang yang membawa kepada sekatan di Selat Hormuz, laluan perairan utama bagi pengangkutan tenaga global, telah menimbulkan kebimbangan di beberapa negara Asia Tenggara terhadap kemampuan mereka membayar import.

Tokyo berhasrat menangani risiko itu melalui sokongan kewangan, termasuk pinjaman menerusi Japan Bank for International Cooperation yang disokong kerajaan, menurut sumber kerajaan.

Perdana menteri Jepun itu menegaskan bahawa skim sokongan terbaharu itu tidak melibatkan penyediaan langsung minyak mentah daripada rizab Jepun dan oleh itu tidak akan menjejaskan bekalan domestik.

Memandangkan kebergantungan tinggi terhadap Asia Barat bagi import minyak mentah, Jepun mengekalkan stok simpanan minyak yang mencukupi di negara itu.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545447