PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan mengadakan lawatan kerja ke sebuah premis di Selangor pada Sabtu ini bagi meninjau bahan asas yang digunakan dalam proses pengadunan biodiesel.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata lawatan itu dibuat susulan keputusan kerajaan untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel negara.
“Menteri Ekonomi akan mengadakan lawatan ke premis berkenaan bagi meninjau bahan asas yang digunakan dalam pengadunan biodiesel pada Sabtu ini,” katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Difahamkan, premis berkenaan ialah KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd (KLKOM), sebuah syarikat pengilangan oleokimia berpangkalan di Malaysia.
KLKOM merupakan sebahagian daripada divisyen KLK OLEO di bawah Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), antara syarikat perladangan terbesar di dunia.
Fahmi berkata dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut memaklumkan bahawa kemudahan pelaksanaan biodiesel sehingga B20 ketika ini telah tersedia di seluruh Sarawak kecuali di Bintulu, selain di Labuan dan Langkawi, Kedah.
Semalam, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, susulan perkembangan krisis di Asia Barat.
Akmal Nasrullah sebelum ini dilaporkan berkata langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan turun naik pasaran global.
Beliau turut menegaskan bahawa penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) perlu dipercepatkan.
-- BERNAMA