AM

Kes Berita Palsu Berkaitan Krisis Tenaga Global: Seorang Akan Didakwa, Lima Dikompaun - Fahmi

15/04/2026 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Seorang individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang berhubung kes penyebaran berita palsu berkait kenaikan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat manakala lima lagi dikenakan kompaun, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara bertajuk Tabayyun Dalam Krisis: Menangani Maklumat, Menjamin Kestabilan terbitan Bernama TV malam ini yang disiarkan secara langsung di saluran TV2 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

Program itu turut mengundang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan sebagai tetamu jemputan.

Fahmi berkata keputusan mendakwa individu itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara selepas meneliti 12 kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan empat kes lagi diberikan Surat Amaran.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung tindakan itu akan diumum oleh MCMC dalam masa terdekat.

“Sejak 29 Mac hingga hari ini, MCMC telah mengesan sebanyak 441 kandungan yang dikenal pasti menyebarkan berita palsu, dan kesemuanya sedang dalam proses untuk diturunkan.

“Sebahagian besar kandungan ini melibatkan dakwaan tidak benar berkaitan isu krisis tenaga global termasuk maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api seperti diesel, RON95 dan RON97,” katanya.

Beliau berkata antaranya dakwaan kononnya Kerajaan Malaysia membayar tol kepada Iran untuk melepaskan kapal, yang menyumbang sebanyak 147 kandungan palsu, walaupun perkara itu telah dinafikan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Dalam pada itu, Fahmi melahirkan kebimbangan terhadap taktik pihak tidak bertanggungjawab yang meniru gaya dan format laporan media arus perdana bagi mengelirukan orang ramai.

Antara yang dikesan ialah penggunaan logo dan format media seperti Sinar Harian, Awani dan TV3 sehingga kandungan tersebut dilihat seolah-olah laporan rasmi.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi di media sosial.

Sementara itu, Zulkifli berkata penting untuk masyarakat terutama umat Islam mengamalkan konsep tabayyun sebelum menyebarkan apa-apa maklumat agar tidak mengundang keadaan panik.

“Tabayyun ini bermaksud kita perlu menyelidiki dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan sesuatu maklumat itu benar, bukan sekadar menerima dan terus menyebarkannya,” kata beliau.

Zulkifli berkata terdapat beberapa prinsip utama dalam amalan tabayyun antaranya menangguhkan penyebaran sesuatu berita sehingga kesahihan dipastikan selain tidak terburu-buru menghukum pihak yang terlibat.

Beliau juga berkata di pihak kementerian, usaha memperkukuh amalan tabayyun akan terus dipergiat melalui kerjasama dengan Kementerian Komunikasi termasuk memberi penerangan kepada golongan agamawan, imam dan asatizah supaya mereka dapat berperanan sebagai ejen penyebar maklumat sahih.

-- BERNAMA 



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545443