JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengarah Pusat Pendidikan IPTA Disyaki Salah Guna Kuasa Direman Lima Hari

15/04/2026 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk direman lima hari kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

Perintah reman hingga 19 April itu dibenarkan oleh Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang berusia 60-an itu ditahan pada kira-kira 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2023 hingga 2025 semasa menjawat jawatan sebagai pengarah IPTA terbabit.

“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sumber turut memaklumkan SPRM telah membekukan empat akaun bank melibatkan satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah kira-kira RM600,000. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut serta memaklumkan siasatan menjurus kepada jenayah dan tatakelola mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545344