AM

KIARA 2026: Ruang Suara Sebenar Antirasuah Mahasiswa

17/04/2026 06:06 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Peka akan perubahan generasi intelektual muda hari ini serta kelantangan dan kebebasan bersuara golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Karnival Integriti dan Antirasuah (KIARA) Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2026 pada 18 April ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (Penmas) SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, pihaknya sedar golongan mahasiswa hari ini bukan sahaja mempunyai  kemampuan intelektual tetapi ada antara mereka yang berani dan radikal dalam mengetengahkan isu atau topik berkaitan rasuah.

“Inisiatif mewujudkan ruang interaksi dan komunikasi di antara agensi ini bersama golongan mahasiswa ini bukanlah perkara baharu malah pendekatan yang digunakan kini lebih tersusun dah berstruktur.

“Dalam aspek pendidikan pencegahan antirasuah di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan, telah wujud Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di 119 institusi dan kita juga turut mempunyai Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KorSUAR) iaitu program sukarelawan unit beruniform yang sedang dilaksanakan di dua institusi pengajian tinggi tempatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Karnival ini satu medium kemuncak yang telah dirancang dan akan menghimpunkan 1,500 peserta AMAR dari enam  IPTA dan IPTS untuk sesi advokasi santai dalam sesi townhall yang tematik bersama SPRM dan rakan strategik antaranya Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Karnival ini yang akan dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang.

Tambah Ahmad Nizam, karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini tepat pada masanya kerana mahasiswa dilihat sebagai kumpulan masyarakat yang mampu bertindak sebagai agen perubahan yang dinamik.

Menurutnya, SPRM percaya mahasiswa mempunyai kuasa mobilisasi yang besar dalam menggerakkan kesedaran antirasuah yang menyeluruh. 
Ini kerana bukan bilangan mereka yang ramai tetapi ia turut dipengaruhi oleh keupayaan intelektual mereka.

“Bertemakan ‘Berani Memerangi Rasuah: Mahasiswa Peneraju Perubahan’, karnival ini adalah inisiatif mewujudkan medan pertemuan dan perkongsian idea pencegahan rasuah, selari dengan aspirasi Sambutan Hari Antirasuah Sedunia 2025–2026 yang menekankan komitmen menyeluruh seluruh lapisan masyarakat dalam memerangi rasuah secara berterusan dan kolektif.

“Pada masa yang sama, program sehari ini juga bakal menjadi ruang manifestasi pandangan dan penyatuan gagasan idea mahasiswa secara teratur dan berhemah. 

“Penganjuran karnival ini juga adalah bukti keterbukaan dan komitmen berterusan dalam membina generasi mahasiswa yang berani, berprinsip dan berintegriti sekali gus menjadi peneraju perubahan ke arah Malaysia yang bebas rasuah,” katanya.

--BERNAMA

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546062