JENAYAH & MAHKAMAH

Hafaz Nazar Dilantik Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Karunanithy Terajui MACA

17/04/2026 07:22 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan dan kenaikan pangkat dua pegawai kanan berkuat kuasa hari ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh struktur kepimpinan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan agensi itu.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, menggantikan jawatan terdahulu sebagai Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Pada masa sama, Datuk Karunanithy Y. Subbiah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan MACA yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang.

“Pelantikan dan kenaikan pangkat ini melibatkan pegawai-pegawai yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi serta integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan pihaknya yakin kedua-dua pegawai itu akan terus memacu kecemerlangan organisasi serta memperkukuh tadbir urus berintegriti sejajar dengan komitmen agensi dalam memperkasakan modal insan yang kompeten, berakauntabiliti dan berorientasikan prestasi.

SPRM turut berharap pegawai yang terlibat dapat terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta menjunjung prinsip integriti dalam setiap aspek tugas.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546103