DUNIA

Harga Diesel di Thailand Dijangka Meningkat Susulan Pengurangan Subsidi

02/04/2026 11:08 PM

By Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 2 April (Bernama) -- Harga runcit diesel di Thailand dijangka meningkat sebanyak 3.50 baht (RM0.43) seliter bermula esok (3 April), susulan pengurangan kadar subsidi oleh Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFFMC) di tengah-tengah lonjakan mendadak harga diesel global.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa subsidi untuk Diesel B7 akan dikurangkan sebanyak 3.51 baht seliter, daripada 17.78 baht kepada 14.27 baht seliter, manakala subsidi untuk Diesel B20 akan dikurangkan sebanyak 3.48 baht seliter, daripada 20.12 baht kepada 16.64 baht seliter.

Jawatankuasa itu mengaitkan pelarasan berkenaan dengan peningkatan ketara harga diesel global yang telah melonjak melebihi US$292 setong, sekali gus membawa kepada kos penapisan yang lebih tinggi.

"Pelarasan kadar subsidi adalah perlu bagi mencerminkan situasi pasaran semasa," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti.

Berikutan itu, harga runcit Diesel B7 akan meningkat kepada 47.74 baht (RM5.90) seliter, manakala Biodiesel B20 akan meningkat kepada 42.74 baht seliter.

OFFMC menekankan bahawa langkah itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan keselamatan tenaga nasional dan mengurangkan kesan kepada orang awam, selain menggesa masyarakat supaya menggunakan tenaga secara cekap dan berjimat cermat semasa tempoh ketidaktentuan harga tenaga global.

Ini menandakan hari kedua berturut-turut harga diesel meningkat selepas ia turut dinaikkan sebanyak 3.50 baht pada Khamis.

Sementara itu, harga petrol bagi semua jenis di Thailand juga dijangka meningkat sebanyak 0.70 baht (RM0.09), berkuat kuasa 3 April.

Setakat 2 April, harga Gasohol 95 berada pada paras 43.25 baht (RM5.34) seliter, Gasohol 91 pada 42.88 baht (RM5.29) seliter, manakala Diesel B7 dijual pada harga 44.24 baht (RM5.46) seliter.

-- BERNAMA
 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540347