Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 1 April (Bernama) -- Jutaan petani Kemboja sedang menghadapi kesukaran apabila kenaikan kos bahan api dan baja meningkatkan kos pengeluaran mereka sejak konflik Asia Barat bermula.
Harga diesel, yang digunakan secara meluas dalam jentera pertanian, telah mencapai kemuncak sejak perang meletus pada 28 Feb, sekali gus memberi tekanan besar kepada 1.8 juta petani di negara itu.
“Kenaikan harga bahan api ketika ini benar-benar menjejaskan komuniti tani, terutamanya pekebun kecil. Mereka tidak mendapat keuntungan dan memerlukan campur tangan kerajaan untuk memastikan pertanian membuahkan hasil.
“Apabila harga bahan api meningkat, harga input, baja, (dan) perkhidmatan termasuk pengangkutan juga meningkat, menyebabkan pekebun kecil tidak mendapat keuntungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Persekutuan Petani Pengeluar Pertanian Kemboja, Sok Sotha kepada Bernama.
Menurut pengumuman Kementerian Perdagangan Kemboja minggu ini, harga petrol biasa, diesel dan gas petroleum cecair masing-masing meningkat sebanyak 41.5 peratus, 94.8 peratus dan 95 peratus sejak bermulanya perang Iran.
Satu liter petrol biasa berharga 5,450 riel atau RM5.48 mulai hari ini, naik sembilan peratus berbanding 5,000 riel atau RM5.04 yang ditetapkan tiga hari lalu, menurut kementerian itu.
Sektor pertanian menjadi pemacu kepada negara yang bergantung kepada eksport itu, dan sebarang krisis bahan api boleh menjejaskan pertumbuhannya.
Menurut Banci Pertanian Kemboja 2023 yang dikeluarkan pada Mei tahun lepas, 54.2 peratus daripada isi rumah Kemboja, dalam kalangan 17 juta penduduknya, terlibat dalam pertanian.
Petani kebanyakannya menanam padi, diikuti ubi kayu iaitu tanaman kedua paling popular. Hampir 80 peratus isi rumah tani menggunakan baja bukan organik.
Krisis tenaga global memberi kesan kepada negara di kawasan Mekong, termasuk Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam, yang kesemuanya sangat bergantung kepada eksport pertanian dan juga bergantung secara meluas kepada minyak yang diimport dari Asia Barat.
Pekebun kecil Kemboja menjadi semakin terdedah kepada lonjakan harga bahan api dan baja, seperti yang berlaku ketika perang Ukraine-Rusia bermula pada 2022.
Kemboja berada dalam situasi yang genting, dengan sempadannya di sepanjang Thailand telah ditutup sejak Julai lalu selepas konfrontasi ketenteraan yang berlarutan berhubung tuntutan wilayah antara kedua-dua negara.
Import minyak telah terhenti, dan ratusan kiosk petrol telah berhenti beroperasi akibat kekurangan bahan api.
“Kedua-dua harga bahan api dan baja telah meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum konflik global, terutamanya perang Timur Tengah. Kebanyakan petani menggunakan diesel untuk mesin pertanian, diikuti petrol untuk aktiviti bukan pertanian.
“Kami berharap rakan pembangunan antarabangsa dan sektor swasta dapat bekerjasama secara langsung dengan organisasi petani untuk memperkukuh perniagaan kolektif dalam komuniti tani agar lebih berdaya tahan terhadap cabaran ini,” kata Sotha.
Ketika petani Kemboja bersiap sedia untuk menanam padi musim tengkujuh bermula Mei ini, mereka menghadapi pelbagai cabaran yang menakutkan. Cuaca panas terik musim panas diramalkan melebihi 40 darjah Celsius pada April.
Dengan sambutan Chol Chnam Thmey atau Tahun Baharu Khmer pada pertengahan April, ramai petani mungkin menghadapi tekanan kewangan yang semakin meningkat.
-- BERNAMA