DUNIA

Singapura Tubuh Jawatankuasa Kebangsaan Selaras Tindak Balas Krisis Tenaga

02/04/2026 11:30 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 2 April (Bernama) -- Singapura menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Menteri Krisis Dalam Negeri (Homefront Crisis Ministerial Committee) untuk menyelaras tindak balas negara terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Dalam pesanan video kepada warga Singapura, Wong berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K Shanmugam dengan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong sebagai penasihat.

“Pasukan telah mula bekerja. Ia sedang mengemas kini pelan kontingensi sedia ada dan membangunkan yang baharu berdasarkan perkembangan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Pertama, kita mengambil langkah aktif untuk mengukuhkan daya tahan tenaga dan rantaian bekalan," katanya pada Khamis.

Menurut perdana menteri, kerajaan Singapura juga akan mempertingkatkan langkah sedia ada di bawah Bajet 2026 dan memajukan beberapa (langkah) ke hadapan untuk memberikan bantuan lebih awal, memandangkan kenaikan harga minyak dan prospek yang tidak menentu.

“Kami akan mengurangkan kesan segera terhadap isi rumah dan perniagaan sambil langkah sokongan yang diumumkan dalam bajet tahun ini dilaksanakan.

“Ia termasuk rebat U-Save tambahan untuk membantu isi rumah menghadapi kos elektrik yang lebih tinggi," katanya sambil menambah bahawa sokongan disasarkan untuk sektor terjejas teruk juga akan disediakan.

Dalam pada itu, Wong menyeru rakyat Singapura untuk berdiri teguh bersama, bertindak secara bertanggungjawab dan bersedia memandangkan situasi global masih tidak menentu susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Beliau menekankan bahawa perniagaan dan isi rumah harus mengambil langkah praktikal untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan penggunaan serta pembaziran yang tidak perlu.

“Kerajaan akan menyokong anda namun tindak balas kolektif kita akan lebih kuat jika setiap daripada kita turut memainkan peranan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540351