IPOH, 2 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 94 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dan 270 liter petrol menerusi operasi di kawasan Perkampungan Orang Asli di Gerik, Selasa lepas.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi pada 5.30 petang dijalankan pegawai dan anggota penguat kuasa cawangan Gerik susulan aduan awam mengenai kewujudan premis menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen atau permit sah.
Beliau berkata pemeriksaan rapi di lokasi mendapati dua premis dikesan menjalankan aktiviti perdagangan LPG dan petrol secara haram.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 32 tahun dan wanita 38 tahun yang dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan tersebut.
“Ekoran kegagalan itu, KPDN telah menyita tong LPG serta petrol tersebut bagi siasatan lanjut melibatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,966,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
-- BERNAMA