SEREMBAN, 2 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) komited mengisi sepenuhnya kekosongan pasukan khas pada tahun depan sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, pantas dan berimpak tinggi.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata usaha itu yang bermula pada tahun ini, antara tiga aspek utama diberi tumpuan selain peningkatan kelengkapan peralatan dan kenderaan kebombaan, serta penambahbaikan kebajikan anggota melalui penyediaan fasiliti.
Beliau berkata langkah pengisian penuh ini adalah penting bagi memastikan setiap pasukan khas berada pada tahap optimum, di samping memperkukuh fungsi khusus dan kepakaran niche agar lebih berfokus, berkeupayaan tinggi serta relevan dengan cabaran operasi kebombaan yang semakin kompleks.
"Setakat ini, pengisian pasukan khas menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan Pasukan HAZMAT dan CBRNe (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) mencapai 91 peratus pengisian.
"Pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat di Air) berada pada tahap 66 peratus dengan tambahan 100 anggota baharu dalam proses pentauliahan. Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) masih terdapat kekosongan sebanyak 18 peratus, manakala pasukan RIM (Unit Bermotosikal) mencatatkan tujuh peratus kekosongan dan Unit Pengesan memerlukan tambahan 10 anggota," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Othman Abdullah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji peringkat JBPM Negeri Sembilan hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi penyelenggaraan kuarters bomba melibatkan 107 projek merangkumi 1,545 unit di seluruh negara termasuk di Mantin, Nilai dan Simpang Pertang di Jelebu.
"JBPM juga telah mengemukakan permohonan tambahan RM10 juta lagi kepada Kementerian Kewangan bagi memperluas pelaksanaan inisiatif itu.
"Sebanyak RM10 juta melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan kebajikan, sukan, rekreasi serta penyelenggaraan balai bomba," katanya.
Sementara itu, Nor Arifin meminta supaya orang ramai di negeri ini tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan peningkatan kes kebakaran serta mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
Beliau berkata pembakaran secara besar-besaran, misalnya di kebun atau ladang, perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar.
"Setakat ini kita menerima satu kes pembakaran ladang di Port Dickson dipercayai sengaja dilakukan oleh pemilik tanah (berdasarkan kesan terbakar secara bertompok-tompok), dan kita serahkan kepada JAS untuk mengambil tindakan selanjutnya,"katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap kehadiran haiwan berbisa seperti ular, terutama ketika musim panas, dan setakat Mac lepas sebanyak 398 kes diterima membabitkan haiwan berkenaan.
-- BERNAMA