AM

Kerajaan Teliti Langkah Proaktif Tangani Krisis Tenaga Global

02/04/2026 03:46 PM

NILAI, 2 April (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam menilai perkembangan krisis tenaga global dengan mengambil kira perancangan jangka sederhana bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terpelihara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian menjangkakan konflik berkenaan berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan namun perancangan awal telah disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangkaan kementerian, paling cepat konflik ini enam bulan...kalau tidak kesannya mungkin menjangkau setahun. Maka sebab itu perancangan dan penyusunan itu perlu melihat soal jangka sederhana.

“Sebab itu kami sedang meneliti pendekatan berkenaan bagi membolehkan campur tangan dan memastikan segala keutamaan mendesak dihadapi ketika ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Malaysia Vision Valley (MVV): Pembinaan jalan Nilai-Labu ke Bandar Enstek yang dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Akmal Nasrullah mengulas mengenai prospek yang boleh dijangkakan rakyat sekiranya konflik tersebut berlarutan hingga pertengahan tahun.

Beliau berkata di peringkat kementerian, pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk melalui penggunaan dashboard bagi meneliti data dan statistik, di samping mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak industri.

Beliau berkata krisis tenaga global memberi kesan berantai kepada rantaian bekalan yang bergantung kepada diesel, minyak dan gas, sekali gus memaksa industri berdepan cabaran baharu serta mencari sumber bekalan alternatif bagi memastikan kelangsungan operasi.

“Kementerian melihat kesan ekonomi jangka sederhana dan panjang. Kita hendak memastikan kesan atau reaksi itu tidak mengganggu secara total terhadap aktiviti ekonomi.

“Kita juga mahu pastikan supaya aktiviti itu masih berlangsung. Dalam menguruskan pertumbuhan ekonomi jangka sederhana, keupayaan rakyat membuat perbelanjaan akan memberi petanda ekonomi berkembang, termasuk soal pelaburan daripada pihak swasta atau perbelanjaan kerajaan untuk memastikan infrastruktur dan pembangunan terus berlaku,” katanya.

Akmal berkata pihaknya juga melihat secara makro perkara jangka sederhana, sementara kementerian dan agensi lain pula akan menilai impak langsung dengan lebih mendalam.

Mengenai lawatan hari ini, beliau berkata pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek melibatkan kos projek RM557.5 juta dijangka siap pada suku tahun pertama tahun depan.

Beliau berkata lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat jaringan jalan raya selaras dengan perkembangan kawasan itu sebagai koridor pertumbuhan penting untuk pelaburan, industri, logistik, perumahan dan pergerakan tenaga kerja.

“Projek ini secara tidak langsung memberi manfaat besar kepada pengguna dan komuniti setempat melalui perjalanan yang lebih lancar, pengurangan kesesakan serta akses lebih baik ke kawasan ekonomi utama di Negeri Sembilan,” katanya.

Akmal turut menegaskan semua pihak perlu memperkukuh penyelarasan dan mempercepat tindakan susulan supaya pelaksanaan projek kekal mengikut jadual, tidak menjejaskan momentum ekonomi, serta mengelakkan pertambahan kos kepada peruntukan pembangunan.

“Dalam keadaan semasa yang mencabar dan negara semakin merasai krisis tenaga global, termasuk kesan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, kita tidak boleh benarkan kelewatan terus berlaku.

“Sebarang isu berbangkit mesti diselesaikan secara cepat, bersepadu dan pragmatik supaya projek siap mengikut masa dan manfaatnya sampai kepada rakyat tanpa tertangguh,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540181