KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Semasa musim perayaan, yang lazimnya disertai jamuan makanan, risiko dispepsia atau ketidakhadaman meningkat kerana pengambilan makanan berat secara berulang dalam tempoh singat memberi tekanan ketara kepada bahagian atas sistem pencernaan.
Menurut kenyataan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) hari ini, kira-kira 15 hingga 25 peratus rakyat Malaysia mengalami dispepsia, menjadikannya satu daripada aduan gastrointestinal paling kerap dilaporkan di negara ini.
“Dispepsia merujuk kepada sekumpulan simptom pada sistem pencernaan bahagian atas yang berpunca daripada perut atau usus kecil bahgaian awal.
Ia boleh berlaku tanpa sebarang abnormaliti struktur, dikenali sebagai despepsia fungsional atau berlaku bersama keadaan seperti gastritis, ulser peptik atau penyakit refluks gastroesofagus. Pesakit biasanya mengalami kembung perut bahagian atas, cepat rasa kenyang, pedih atau tidak selesa di bahagian atas abdomen, loya dan sendawa berlebihan,” menurut kenyataan itu.
Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi SMCV Dr Deborah Chew Chia Hsin berkata simptom di bahagian atas abdomen kerap meningkat pada musim perayaan, dengan bilangan pesakit menghadapi masalah gastrik biasanya lebih tinggi semasa sambutan sebegini.
“Kebanyakan orang beranggapan ia hanya akibat makan berlebihan, tetapi simptom berterusan atau berulang mungkin menunjukkan masalah kesihatan asas yang memerlukan penilaian lanjut,” katanya.
Beliau berkata sesetengah individu lebih mudah mengalami dispepsia, terutamanya pada musim perayaan, termasuk mereka yang sudah mempunyai dispepsia fungsional, gastritis, penyakit refluks, pesakit diabetes yang boleh melambatkan pengosongan perut, serta individu mengalami kebimbangan, yang mungkin lebih sensitif terhadap ketidakselesaan gastrik.
Dr Deborah berkata pengambilan makanan berat secara berulang dalam tempoh singkat memberi tekanan terkumpul pada perut, terutamanya apabila hidangan tersebut tinggi kandungan lemak.
“Hidangan berasaskan santan seperti rendang, boleh melambatkan proses pengosongan perut, manakala saiz hidangan yang besar meningkatkan tekanan dalam perut ketika ia mengembang, sekali gus menyebabkan kembung dan rasa kenyang berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata pencuci mulut dan minuman manis menambah beban pada sistem pencernaan dengan meningkatkan bebas osmotik, manakala minuman berkarbonat menghasilkan gas berlebihan yang memburukkan kembung. Makanan pedas pula mengandungi sebatian seperti kapsaisin yang merangsang reseptor haba dan kesakitan, terutamanya pada individu sensitif.
Beliau menasihatkan supaya menunggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam selepas pengambilan makanan berat sebelum berbaring atau tidur, kerana berbaring terlalu awal boleh melambatkan proses pencernaan dan meningkatkan refluks kandungan perut ke esofagus, sekali gus menyebabkan rasa pedih, kembung dan ketidakselesaan.
Walaupun ketidakhadaman yang berkaitan musim perayaan biasanya bersifat sementara, adalah penting membezakan ketidakselesaan pencernaan biasa daripada simptom yang memerlukan perhatian perubatan. Ketidakhadaman normal biasanya reda dalam beberapa jam selepas makan atau dengan penyesuaian diet mudah.
Simptom yang berterusan melebihi dua hingga tiga minggu, semakin teruk secara berperingkat atau disertai dengan tanda amaran seperti penurunan berat badan tanpa sebab, anemia, najis hitam, muntah berterusan atau kesukaran menelan yang semakin teruk memerlukan penilaian perubatan.
Dr Deborah berkata dalam kes terpilih dengan simptom kekal tidak dapat dijelaskan walaupun selepas pemeriksaan rutin seperti pemeriksaan klinikal, ujian darah, ujian Helicobacter pylori dan endoskopi atas, doktor mungkin mencadangkan Ultrasound Endoskopi (EUS).
“EUS pada dasarnya menggabungkan dua teknologi dalam satu alat dan digunakan untuk menilai ketumbuhan pankreas, mengesan abnormaliti saluran hempedu, serta menyiasat penebalan dinding perut yang tidak dapat dijelaskan. Ia juga membolehkan biopsi jarum halus yang tepat dengan panduan imej ultrabunyi,” katanya.
Disebabkan kemampuannya menghasilkan imej terperinci dan membimbing pengambilan tisu secara sasaran, EUS sering disyorkan apabila simptom berterusan tetapi pemeriksaan rutin masih tidak memberikan keputusan jelas. Teknik diagnostik canggih ini membolehkan doktor melihat struktur pencernaan lebih dalam, mengesan masalah kesihatan asas dengan lebih tepat dan menentukan langkah rawatan seterusnya yang sesuai untuk pesakit.
Apabila keadaan serius telah disingkirkan, rawatan membeir tumpuan kepada melegakan simptom dan meningkatkan fungsi perut. Ubat mungkin diberikan untuk mengurangkan kerengsaan akibat asid atau menyokong pergerakan perut, bergantung kepada keadaan pesakit. Sekiranya jangkitan seperti Helicobacter pylori dikenal pasti, rawatan sasaran diperlukan. Namun, dalam kebanyakan kes, simptom bertambah baik dengan panduan perubatan yang sesuai dan pengubahsuaian diet.
Selain ubat-ubatan, pencegahan merupakan strategi paling berkesan semasa musim perayaan. Dr Deborah menasihatkan kawalan saiz hidangan, mengambil makanan secara perlahan dan memberi jarak masa yang cukup antara hidangan berat.
Probiotik mungkin memberi manfaat kepada individu terpilih, terutamanya mereka yang mudah mengalami kembung dengan menyokong keseimbangan usus semasa perubahan diet secara tiba-tiba. Beliau juga menekankan walaupun menikmati hidangan semasa perayaan adalah sebahagian daripada sambutan, kesedaran dan kesederhanaan adalah kunci untuk mengekalkan keselesaan pencernaan jangka panjang.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.