EKONOMI

Antidox Series Raih Pengiktirafan Daripada ASEAN Records Dan ASIA Records

24/03/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Antidox Series, jenama penjagaan kulit antipenuaan tempatan telah diiktiraf oleh ASEAN Records dan ASIA Records, menurut syarikat berkenaan.

Pengiktirafan itu berkaitan dengan penggabungan tiga teknologi berpaten iaitu Teknologi SILAB IBPN daripada Perancis, Teknologi Adeplump daripada Jepun serta teknologi asid hialuronik SupremeHyal Relift.

Pengasas Antidox Ng Ker Lii berkata pengiktirafan berkenaan hasil daripada usaha penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun oleh jenama itu.

Beliau berkata produk penjagaan kulit seharusnya memberi keutamaan terhadap penambahbaikan keadaan kulit secara berpanjangan, bukannya memberikan kesan segera.

“Sekiranya sesuatu produk tidak cukup selamat untuk diri kita dan keluarga, maka ia tidak wajar dipasarkan,” katanya yang hadir pada pelancaran produk baru-baru ini.

Ng berkata syarikat itu turut melancarkan produk baharu iaitu LUNA Night Mask, yang menggunakan teknologi dikenali sebagai Night Reset Technology. 

Beliau berkata kajian mengenai mekanisme penuaan kulit menunjukkan bahawa waktu malam memainkan peranan penting dalam proses pemulihan kulit secara semula jadi.

“Pada waktu siang, kulit sentiasa terdedah kepada sinaran ultraungu, pencemaran dan tekanan harian manakala waktu malam adalah fasa penting bagi proses pemulihan semula jadi kulit,” katanya.

Menurut syarikat berkenaan, produk terbabit mengandungi beberapa komponen termasuk teknologi LunaRose, bahan berkaitan eksosom serta unsur seramida dan vitamin B12.

Antidox Sdn Bhd, yang ditubuhkan sejak 16 tahun lepas menumpukan kepada pembangunan produk berasaskan sains dan berhasrat untuk terus mengembangkan penyelidikan serta rangkaian produknya susulan pelancaran produk dan pengiktirafan rekod tersebut.

ASEAN Records dan ASIA Records merupakan platform yang bertujuan merekod pencapaian yang boleh diukur dan mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai sektor seperti industri, budaya, pelancongan, inovasi, perniagaan serta inisiatif komuniti.

-- BERNAMA

 

Penafian: Berita ini ialah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2537215