AM

Kehadiran Jenama Francais Ubah Landskap Bazar Ramadan, Perlu Pendekatan Seimbang - Pakar

04/03/2026 11:30 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kehadiran jenama rangkaian minuman dan makanan berskala besar di bazar Ramadan menandakan perubahan struktur yang signifikan terhadap ekosistem perniagaan kecil yang sekian lama menjadi nadi utama lokasi berkenaan.

Dari perspektif pengguna, penyertaan jenama besar menawarkan nilai tambah seperti harga lebih kompetitif, kualiti produk yang konsisten serta keyakinan terhadap standard operasi dan keselamatan makanan. Situasi ini selari dengan prinsip pasaran terbuka yang memberi pilihan lebih luas kepada pembeli.

Bagaimanapun, bagi peniaga mikro, persaingan tersebut bersifat tidak simetri memandangkan mereka beroperasi dengan modal terhad, kos perolehan bahan mentah yang lebih tinggi serta bergantung kepada jualan bermusim sepanjang Ramadan.

Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Mohd Ikhwan Aziz berkata keadaan itu diibaratkan seperti pasukan bola sepak Liga Super yang bermain di liga kampung.

“Dari sudut pelanggan, ia sesuatu yang menarik. Namun bagi peniaga kecil, kelebihan jelas berpihak kepada jenama besar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keupayaan syarikat berskala besar memanfaatkan ekonomi skala, kekuatan modal dan strategi pemasaran agresif mewujudkan kelebihan daya saing yang sukar ditandingi peniaga kecil.

Mohd Ikhwan berkata situasi itu juga boleh menjadi cerminan realiti pasaran sebenar.

“Ia memberi gambaran kepada peniaga kecil tentang kepentingan penjenamaan, penetapan harga strategik, pengurusan sasaran jualan dan pendekatan mendekati pelanggan secara lebih berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ikhwan mencadangkan supaya diwujudkan garis panduan yang lebih jelas dalam pengurusan bazar Ramadan termasuk aspek struktur harga dan penyusunan kategori jualan bagi memastikan ekosistem kekal adil.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan persatuan penjaja, penganjur bazar serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyelaras penyertaan pemain industri agar objektif asal bazar sebagai platform ekonomi mikro tidak tersasar.

Sementara itu, seorang pengguna, Samiha Mohamed, 45, berkata penyertaan francais boleh dipertimbangkan sekiranya memberi penekanan kepada produk tempatan dengan harga yang munasabah.

Katanya pendekatan itu mampu mengurangkan jurang ketara antara peniaga kecil dan jenama besar, sekali gus mengekalkan identiti bazar sebagai ruang mencari rezeki bagi usahawan kecil.

Beliau juga melihat potensi kerjasama antara kedua-dua pihak, termasuk peluang pembekalan bahan mentah oleh peniaga kecil serta perkongsian kepakaran dalam aspek pemasaran dan penjenamaan.

“Model kolaboratif boleh mewujudkan situasi menang-menang tanpa menjejaskan peranan bazar sebagai platform memperkasa ekonomi rakyat,” katanya.

Lathifah Abdulah Hamid, 43, pula berkata jenama besar sememangnya mempunyai kelebihan kerana sudah dikenali dan dipercayai ramai namun peniaga kecil mempunyai keunikan tersendiri yang tidak boleh dipandang rendah.

“Peniaga kecil ada keunikan mereka. Saya sendiri akan membeli makanan atau kuih yang rare di bazar kerana itu susah nak dapat di tempat lain. Jenama peniaga kecil yang menawarkan produk berkualiti juga mampu menarik pelanggan setia contohnya minuman soya, saya lebih suka soya kampung,” katanya.

Lathifah berkata kepelbagaian pilihan antara jenama besar dan peniaga kecil sebenarnya memberi ruang kepada pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan cita rasa masing-masing.

Akhirnya, beliau berkata keseimbangan antara kepentingan pengguna dan kelangsungan peniaga kecil perlu menjadi pertimbangan utama agar bazar Ramadan terus berfungsi sebagai nadi ekonomi komuniti, bukan sekadar medan persaingan komersial berskala besar.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530136