GAYA HIDUP

Beli Barangan Tiruan: Kerana Murah Atau Status?

19/03/2026 10:22 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang mahu tampil segak, cantik dan bergaya ketika berkunjung ke rumah sanak saudara ataupun menghadiri rumah terbuka, apatah lagi jika penampilan itu disempurnakan dengan busana, beg tangan, minyak wangi ataupun aksesori berjenama.

Bagi sesetengah individu, gaya yang kemas, menarik serta mengikut trend semasa bukan sahaja menambahkan lagi seri suasana perayaan selepas sebulan umat Islam menjalani ibadah Ramadan, akan tetapi juga turut memberi keyakinan kepada mereka untuk tampil dengan lebih menonjol ketika beraya.

Namun begitu, harga produk jenama terkenal yang terlalu mahal mencecah ribuan ringgit menyebabkannya tidak semua mampu untuk memilikinya, sekali gus mendorong sebahagian besar pengguna beralih kepada alternatif lebih murah yang hampir menyerupai jenama asli.

pic-2

Tidak kisah barangan itu bukan asli, atau sering disebut sebagai “copy ori”, yang penting bagi mereka kepuasan memiliki produk diinginkan, apatah lagi dengan lambakan produk seumpama itu di pasaran yang kini begitu mudah ditemukan sama ada di kedai fizikal ataupun platform dalam talian.

Polemik ini yang sudah lama berantaian dilihat semakin rancak khususnya menjelang musim perayaan biarpun pelbagai usaha penguatkuasaan telah dilakukan dengan impaknya bukan sahaja melibatkan pengeluar barangan mewah dari luar negara bahkan turut merangkumi syarikat tempatan.

pic-3

Tidak terkecuali, jenama hijab terkemuka tanah air Ariani turut berdepan dengan cabaran sama apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab meniru rekaan tudung eksklusif jenama itu dan menjualnya pada harga lebih murah, semata-mata untuk meraih keuntungan ketika musim perayaan.

Menerima aduan daripada pengguna yang menjadi mangsa penipuan apabila tudung dibeli berkualiti rendah, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata pihaknya telah  mengambil beberapa langkah bagi melindungi jenama serta mengelakkan pengguna daripada terkeliru.

“Fesyen di Malaysia, ada yang diinspirasikan lebih kurang sahaja. Contoh tudung sarung Ariani, ramai tiru potongannya. Saya tak berapa kisah yang itu tetapi kalau ‘printed’  A to A memang sama, itu saya tak boleh (terima) sebab pelanggan boleh keliru dengan yang asli. 

“Saya ada terima aduan pelanggan mengenai kualiti dibeli tidak sama seperti biasa. Rupanya, mereka membeli produk tiruan, jadi kami perlu melindungi pelanggan dan juga jenama Ariani,” katanya kepada Bernama. 

pic-4

Bagi melindungi jenama syarikat, Farah Haryani berkata pihaknya telah memperkenalkan teknologi hologram pada setiap produk Ariani sebagai langkah memastikan ketulenan barangan yang dijual dan mengelakkan pelangan mereka daripada  terus ditipu. 

“Kami ada membuat aduan kepada pihak berkuasa dan memperkenalkan teknologi hologram pada produk Ariani. Dengan adanya hologram, pelanggan boleh mengimbas dan mengetahui sama ada tudung itu asli atau tidak,” katanya.

pic-5

Mengulas isu itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Wan Nurisma Ayu Wan Ismail berkata pembelian barangan tiruan bukan sahaja menjejaskan imej jenama malah menyebabkan pemilik jenama asli kehilangan pendapatan.

Katanya, laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) menunjukkan nilai perdagangan global barangan tiruan dianggarkan sekitar US$467 bilion pada 2021, bersamaan dengan kira-kira 2.3 peratus daripada jumlah import global.

pic-6

“Analisis pasaran menunjukkan perdagangan barangan tiruan berpotensi meningkat hingga US$1.79 trilion menjelang 2030. Maksudnya, sekitar satu daripada setiap 20 dolar Amerika perbelanjaan global mungkin digunakan untuk produk tiruan.

“Ini menyebabkan kerugian besar kepada syarikat yang melabur dalam penyelidikan, pembangunan produk dan pemasaran jenama mereka,” katanya sambil menambah usaha penguatkuasaan penting bagi membanteras kegiatan tidak bermoral itu. 

Di Malaysia, beliau berkata kerajaan komited menangani isu itu melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang giat menjalankan operasi penguatkuasaan, dengan nilai rampasan barangan tiruan setiap tahun mencecah puluhan juta ringgit melibatkan produk seperti pakaian berjenama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535554