GAYA HIDUP

Jenama Fesyen Indonesia Perluas Kehadiran Di Malaysia

11/03/2026 03:20 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Jenama fesyen Indonesia semakin mendapat perhatian di Malaysia apabila lebih banyak label dari negara itu menembusi pasaran tempatan menerusi platform runcit sedia ada.

Kehadiran fesyen Indonesia yang kian berkembang itu diserlahkan menerusi acara Experience Nusantara Couture yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dengan kerjasama Collabstore.

Acara itu menghimpunkan pereka, pembeli, peruncit dan pihak berkepentingan industri bagi memperkukuh hubungan dan mempromosi kerjasama dalam ekosistem ekonomi kreatif antara Malaysia dan Indonesia.

pic-2

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya berkata inisiatif itu bukan sahaja berfungsi sebagai pameran fesyen, malah menjadi platform untuk bertukar idea, meneroka peluang serta membina kerjasama jangka panjang antara pemain industri kedua-dua negara.

“Ekonomi kreatif Indonesia terus berkembang pesat dan fesyen merupakan antara sektor paling dinamik. Pereka Indonesia kian mendapat pengiktirafan di peringkat global menerusi kreativiti, kemahiran pertukangan dan pendekatan reka bentuk yang kontemporari,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Katanya kedutaan itu komited untuk terus menyokong perniagaan dan industri kreatif Indonesia dalam memperluas kehadiran mereka di Malaysia, khususnya dalam menghubungkan mereka dengan rakan tempatan, pembeli, pengedar, peruncit serta pihak media.

pic-3

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Roemah Kebaya Vielga Annisa Imran berkata jenama tersebut teruja diberi peluang memperkenalkan rekaan kebaya mereka di Malaysia, yang dilihat sebagai pasaran strategik untuk mempromosikan warisan fesyen Indonesia kepada pengguna serantau.

Katanya  sambutan positif pemain industri dan peminat fesyen di Malaysia mengukuhkan keyakinan bahawa rekaan tradisional seperti kebaya masih relevan apabila dipersembahkan dengan sentuhan moden.

“Saya harap peluang ini akan menjadi batu loncatan untuk produk kami berkembang di Malaysia, dan seterusnya membolehkan kami membuka butik sendiri di sini,” katanya.

pic-4

Pengasas Kekean Wastra Galery, A. Nurhasim Hamada pula berkata penyertaan dalam program itu memberi peluang kepada jenama berkenaan memperkenalkan tekstil tradisional Indonesia kepada pasaran yang lebih luas di Malaysia.

Beliau berkata platform seperti Collabstore membolehkan jenama Indonesia menampilkan keunikan reka bentuk dan kemahiran pertukangan mereka, sekali gus mengukuhkan kehadiran dalam pasaran fesyen serantau.

Sebanyak 11 jenama fesyen Indonesia diketengahkan pada acara tersebut,  iaitu Findmeera, Studio Moral, Aeri Luxe, Intresse, Artolouis, Kanzi Collection, Nyaman, Putri Anjani, Kekean, Nyana Nyana dan Roemah Kebaya, selain jenama kecantikan halal Indonesia, Wardah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533064