MELAKA, 24 Mac (Bernama) -- Mantan Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Md Salleh meninggal dunia pada usia 76 tahun di kediamannya di Kampung Solok Gaung, di sini, kira-kira 4 pagi tadi akibat sakit tua.
Perkara tersebut disahkan oleh bekas Mufti Negeri Melaka Datuk Halim Tawil ketika dihubungi dan turut menyifatkan pemergian tokoh agama itu sebagai satu kehilangan besar buat negeri ini.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Zoriah Mohamad, 68, serta lima orang anak.
Sementara itu anak kedua Allahyarham, Ahmad Fathi Rashid Redza, 39, berkata pemergian bapanya merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat Islam di negeri ini.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah. Beliau seorang yang tegas dalam prinsip, namun sangat penyayang dan sentiasa menekankan kepentingan agama dalam kehidupan kami,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga beliau, di sini, hari ini.
Beliau berkata jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Al-Khairiyah, Ayer Molek sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah sebelum solat Zohor.
Allahyarham yang dilahirkan pada 22 Sept, 1950, di Kampung Chinchin, merupakan seorang tokoh agama yang disegani di negeri ini dan menerajui jawatan Mufti Negeri Melaka selama 15 tahun bermula 6 Dis 1996 hingga 2011.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi Islam serta memberi panduan berkaitan hal ehwal syariah di negeri ini.
Allahyarham merupakan graduan dalam bidang syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan turut melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum memulakan kerjaya dalam pentadbiran agama Islam di Melaka pada 1982.
Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Melaka pada 2011.
-- BERNAMA