KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pemergian bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada institusi kehakiman yang pernah menerima sumbangan besar beliau sepanjang perkhidmatan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Allahyarham yang merupakan Hakim Besar Malaya bermula dari 8 Feb 2005 hingga 5 Jan 2007 telah banyak berjasa kepada Badan Kehakiman Malaysia.
"Sepanjang lebih 40 tahun dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh kehakiman yang unggul dan telah mengatasi pelbagai halangan serta batasan dalam institusi kehakiman negara.
"Allahyarham juga dikenali melalui pelbagai penghakiman utama yang menjadi rujukan serta memperlihatkan kebijaksanaan dan kewibawaan beliau sebagai seorang hakim," menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili Badan Kehakiman Malaysia dan seluruh warga kerjanya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Siti Norma.
Sumbangan dan pencapaian Allahyarham turut membuka laluan kepada lebih ramai hakim wanita untuk menggalas tanggungjawab dalam jawatan tertinggi Badan Kehakiman, sekali gus menjadi contoh bahawa wanita mampu mencapai kedudukan tertinggi dalam institusi kehakiman.
"Sesungguhnya kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif berkata Siti Norma akan dikenang sebagai perintis wanita dalam badan kehakiman, sambil menambah bahawa Allahyarham merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Malaysia.
Md Raus berkata Siti Norma kemudian menjadi Hakim Besar Malaya, jawatan kehakiman ketiga tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia, sekali gus memecahkan halangan dan membuka laluan kepada generasi hakim wanita di negara ini.
"Beliau merupakan seorang pakar undang-undang dan pentadbir bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Selepas bersara, beliau dilantik sebagai hakim di Dubai International Financial Centre, mencerminkan pengalaman, integriti dan kebijaksanaannya," katanya.
Peguam kanan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula berkata Siti Norma akan dikenang kerana inteleknya yang hebat serta kesabaran, kesopanan dan belas kasihan sepanjang tahun perkhidmatannya di mahkamah.
"Penghakiman penting beliau telah memberikan sumbangan kepada pembangunan undang-undang dan akan terus dihormati serta dihargai, sekali gus memastikan legasi beliau kekal terpahat kukuh dalam sejarah perundangan negara," katanya.
Siti Norma meninggal dunia pada 1.51 tengah hari tadi di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, dekat sini, pada usia 85 tahun.
Anaknya, Meor Amri Meor Ayob, 56, ketika dihubungi Bernama mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat pneumonia.
-- BERNAMA