AM

Program Semarak Syawal FAMA Melaka Tawar Barangan 10 Hingga 30 Peratus Lebih Murah

15/03/2026 01:32 PM

JASIN, 15 Mac (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran menerusi Program Semarak Syawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di enam lokasi pasar tani di seluruh Melaka.  

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program bermula semalam hingga 19 Mac itu dilihat dapat memberi kelegaan kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah sekali gus membantu meringankan perbelanjaan menjelang sambutan Aidilfitri.

"Untuk program Semarak Syawal @ Pasar Tani Merlimau hari ini, FAMA menawarkan jualan ayam pada harga RM5 seekor dengan pembelian dihadkan kepada dua ekor bagi setiap pelanggan.

"Selain itu kita juga menawarkan harga istimewa seperti jualan daging segar RM30 sekilogram (kg), telur gred C (RM10 sepapan), Beras Melaka (RM26 satu kampit) dan promosi set kombo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Syawal peringkat Melaka yang turut dihadiri Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid, di sini, hari ini.

 Mengulas lanjut Dr Muhammad Akmal berkata orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk mendapatkan barangan keperluan untuk persiapan Aidifitri kerana ia mencukupi.

Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan Beras Melaka boleh membelinya di pasar tani seluruh negeri dengan pengeluaran sekitar 1,200 kampit sebulan yang diedarkan oleh FAMA sebagai pengedar tunggal.

“Sambutan terhadap Beras Melaka sangat menggalakkan terutama menjelang minggu terakhir sebelum Aidilfitri. Bagi suku pertama tahun ini, pengeluaran adalah sebanyak 3,600 kampit dan usaha sedang dipergiatkan untuk meningkatkan pengeluaran pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Nor Azhar berkata FAMA Melaka merekodkan nilai jualan melebihi RM4.3 juta tahun lalu menerusi Program Jualan Agro MADANI dengan penglibatan hampir 1,000 usahawan tempatan.

Beliau berkata pelaksanaan program itu juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan 264 program berjaya dilaksanakan, melebihi sasaran asal iaitu 230 program bagi 2025.

"Program ini dilaksanakan sama ada di outlet FAMA mahupun di lokasi luar outlet bagi memastikan rakyat di pelbagai kawasan menikmati akses kepada produk makanan segar dan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Selain itu, melalui konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna, orang ramai dapat menikmati penjimatan sekitar 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa, sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534604