KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Empat pelajar Malaysia melakar kejayaan di Anugerah Inovasi Bangkok apabila meraih dua pingat emas dan tempat kedua bagi Kategori Kejuruteraan Sekolah Rendah.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan melahirkan rasa bangga atas pencapaian itu dan menyifatkannya sebagai simbol keupayaan generasi muda dalam mengangkat martabat negara melalui inovasi dan kecemerlangan akademik.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa generasi muda kita memiliki idea kreatif dan berimpak tinggi yang mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat pelajar berkenaan ialah Ilaneyan Yuvarajan dan M. Theerchanna dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) KO Sarangapany, serta Ilanarun Yuvarajan dan M. Elamaaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar berkenaan yang sanggup berkorban masa dan hadir ke Bangkok bagi memberikan sokongan moral.
Beliau berkata pengorbanan dan dorongan keluarga menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak, sekali gus membuktikan kejayaan bukan usaha individu semata-mata tetapi hasil sokongan kolektif yang padu.
Pada masa sama, Naib Presiden PKR itu merakamkan penghargaan kepada guru yang telah membimbing pelajar berkenaan hingga berjaya di pentas antarabangsa, selain turut berkongsi detik menyentuh hati apabila pelajar berkenaan meminta tandatangannya sebagai kenangan.
“Walaupun tidak dijangka, saya menerimanya sebagai satu penghormatan besar. Saya sempat menitipkan kata-kata semangat agar mereka terus melangkah jauh dalam perjalanan masa depan yang cerah,” katanya.
Ramanan berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani berinovasi serta mencipta kejayaan di peringkat global, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai sebuah negara berdaya saing.
-- BERNAMA