TEMERLOH, 22 Mac (Bernama) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda bangga melihat peningkatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat apabila berkumpul dalam penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri.
Al-Sultan Abdullah bertitah kehadiran banyak pengunjung pada penganjuran Majlis Istana Terbuka di Kuantan, semalam dan Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang hari ini, memberi semangat kepada baginda untuk terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat.
“Saya berasa bangga dapat hadir di Lanchang (dan) dapat lihat sendiri peningkatan ukhuwah masyarakat,” titah baginda semasa berangkat ke majlis rumah terbuka itu di Lanchang di sini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda berdua termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah menjadi pemimpin termasuk sebagai raja atau menteri besar bukan sesuatu yang mudah kerana tetap perlu bekerja serta melayan rakyat walaupun pada hari cuti termasuk hari raya.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas penganjuran majlis itu dan mengingatkan beliau untuk terus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di Pahang.
“Kita juga perlu menyediakan aktiviti ekonomi kepada rakyat dan sentiasa berdoa supaya bumi Pahang sentiasa dilindungi Allah dan bertambah pembangunan dan kesejahteraan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga mengajak rakyat untuk berdoa supaya konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran dapat ditamatkan kerana kesan peperangan itu turut dirasai di seluruh dunia.
-- BERNAMA