SUKAN

KBS Perhalus Strategi Sasaran Emas Spesifik Seiring Misi Juara Sukan SEA 2027

20/03/2026 10:12 AM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif dan Amiril Muttaqien Meketar

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Pendekatan baharu dalam menetapkan sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan SEA 2027 di Malaysia sedang dalam penelitian, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata cadangan menetapkan sasaran pingat emas secara spesifik berbanding jumlah pingat keseluruhan yang digunakan sebelum ini masih dalam peringkat perbincangan.

Dr Mohammed Taufiq berkata langkah itu perlu diteliti secara mendalam bagi memastikan sebarang sasaran yang diumumkan kelak tidak memberi tekanan berlebihan kepada atlet, khususnya dari segi moral dan momentum semangat mereka menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

“Sebenarnya perkara ini masih dalam perbincangan, belum lagi diputuskan. Saya hanya melontarkan idea supaya kami melihat satu pendekatan baharu dalam mengumumkan sasaran pingat emas atau sasaran pingat secara keseluruhan.

“Kami perlukan kajian dan penelitian yang lebih supaya ia tidak memberikan kesan kepada atlet, sama ada dari segi moral atau semangat mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri baru-baru ini.

-- LAGI

 

SUKAN-MOHAMMED TAUFIQ (PINGAT) 2 PUTRAJAYA

 

Dr Mohammed Taufiq berkata pendekatan baharu itu juga mengambil kira Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan edisi ke-34 itu, sekali gus menggalas cabaran yang lebih besar berbanding edisi-edisi lepas.

Beliau berkata sebagai tuan rumah, sasaran tidak lagi sekadar berada dalam kelompok tiga terbaik, sebaliknya perlu terarah kepada usaha untuk menjadi juara keseluruhan.

“Untuk menjadi juara, sudah pasti kami perlu menyasarkan pingat emas terbanyak,” katanya.

Justeru, Dr Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk mengadakan sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan sukan kebangsaan, atlet serta pakar dalam bidang sukan bagi menentukan sasaran pingat sebelum keputusan berkaitan itu dibuat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kontinjen negara mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan hanya menetapkan sasaran jumlah pingat keseluruhan berbanding sasaran pingat emas secara spesifik bagi temasya sukan yang disertai.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq melihat sepak takraw sebagai antara sukan berpotensi menyumbang kejayaan negara pada Sukan SEA 2027 jika momentum semasa dapat dikekalkan.

Beliau berkata pencapaian cemerlang skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand diharap mampu diterjemahkan kepada kejayaan lebih besar apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

“Itu hasrat kami supaya apa yang kita capai pada Sukan SEA 2025 menjadi pemangkin untuk Sukan SEA 2027. Kami tidak mahu kejayaan itu terhenti di situ,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata KBS turut berbincang dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengenai usaha memperluas pendedahan atlet ke peringkat antarabangsa bagi menimba pengalaman serta memacu prestasi pada tahap terbaik.

Pada masa sama, beliau berkata pembangunan bakat baharu di peringkat akar umbi juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kesinambungan kejayaan sukan tradisi itu.

“Sepak takraw sekarang mendapat sambutan yang sangat hebat di peringkat akar umbi. Selain mengekalkan keunggulan atlet sedia ada, penting untuk persatuan mencungkil bakat baharu. Kami tidak mahu berlaku tempoh kekosongan pelapis,” katanya.

Pada Sukan SEA 2025, skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan apabila menewaskan musuh tradisi dan tuan rumah, Thailand pada final sebelum menambah satu lagi emas menerusi acara regu dengan menundukkan Vietnam pada pentas akhir.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536211