SUKAN

Liga Super: JDT Sasar Musim Tanpa Kalah - Munoz

19/03/2026 09:12 AM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz mengulangi tekad pasukan itu untuk menamatkan Liga Super Malaysia musim ini tanpa sebarang kekalahan selepas mencatat kemenangan 7-0 ke atas PDRM FC malam tadi.

Meskipun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut, Munoz berkata langkah mengekalkan fokus dan meningkatkan prestasi kekal penting sehingga ke penghujung musim.

Beliau turut mengakui cabaran yang terpaksa ditempuh dalam usaha menggapai musim yang sempurna namun memuji mentaliti skuadnya.

“Setiap perlawanan adalah sukar tetapi para pemain memberikan yang terbaik sama ada di atas padang mahupun dalam latihan... jika mahu mencapai tahap tertinggi, kami perlu terus memaksa diri sehingga perlawanan terakhir, dengan memberikan tumpuan penuh selama 90 minit dalam setiap perlawanan,” katanya.

Mengulas mengenai pengurusan skuad, Munoz menekankan kepentingan penggiliran pemain secara berhati-hati bagi menyeimbangkan prestasi dan kebajikan mereka.

Berbaki empat perlawanan, JDT berpeluang mencipta rekod baharu dengan menamatkan musim ini tanpa sebarang kekalahan, satu pencapaian yang belum pernah dikecapi oleh kelab berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535862