MELAKA, 20 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya yang sedang hamil pada Ahad lepas direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Semalam, polis berjaya menahan lelaki itu yang juga seorang penghantar makanan kerana didakwa memukul isterinya yang sedang hamil di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit dilaporkan berkata suspek berusia 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai anggota polis dari Unit D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira 11 pagi.
-- BERNAMA