GAYA HIDUP

"Natural Look" Teknik Solekan Terbaik Untuk Aidilfitri

19/03/2026 10:16 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

BANGI, 19 Mac (Bernama) -- Menjelang sambutan Aidilfitri, persediaan rapi wanita bukan sahaja tertumpu pada pemilihan busana, malah tatarias wajah turut memainkan peranan penting bagi memastikan penampilan kekal segar dan berseri sepanjang lebaran.

Pemilihan teknik solekan yang tepat bukan sahaja mampu menyerlahkan kecantikan semula jadi, malah membantu meningkatkan keyakinan diri sepanjang hari raya yang lazimnya dipenuhi pelbagai aktiviti termasuk berkunjung ke rumah taulan.

Jurusolek artis, Ezad Ibrahim berkata penampilan menarik pada hari raya tidak semestinya menuntut solekan tebal, sebaliknya cukup dengan teknik yang mampu menyerlahkan kecantikan semula jadi atau natural look.

pic-2

Beliau yang terkenal dengan sentuhan moden dan minimalis berkata pendekatan solekan natural terus menjadi pilihan utama kerana mampu membuatkan kulit kelihatan lebih segar dan bercahaya tanpa menenggelamkan ciri asli wajah.

Natural look itu mengembalikan skin kita kepada skin kedua. Bukan tidak bersolek, tapi dia (teknik ini) menyerlahkan wajah supaya nampak lebih mempesona, lebih glow dan lebih cantik dengan cara yang timeless,” katanya ketika ditemui selepas sesi demonstrasi solekan pada acara Royal Raya Fashion Week 2026, di sini baru-baru ini.

Ezad yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri kecantikan, berkata ramai wanita tempatan masih cenderung mengikut trend solekan tebal dari luar negara, sedangkan gaya tersebut tidak semestinya sesuai dengan warna dan tekstur kulit wanita Asia.

pic-3

Katanya kulit wanita Malaysia yang majoritinya berona sawo matang, mempunyai keunikan tersendiri yang tidak memerlukan solekan berlebihan untuk kelihatan cantik.

“Kalau kita tengok gambar mak kita kahwin zaman dulu, sampai sekarang masih nampak cantik. Itu yang saya maksudkan timeless. Tapi kalau makeup terlalu tebal dan terlalu ikut trend, nanti akan nampak janggal bila dilihat semula pada masa akan datang,” katanya.

Ezad yang pernah mendandan ramai artis terkenal, antaranya Anzalna Nasir dan Nabila Huda, turut berkongsi beberapa langkah asas bagi mendapatkan solekan yang lebih segar dan tahan lama terutama ketika berkunjung ke rumah keluarga atau sahabat handai.

Katanya persediaan kulit wajah termasuk menggunakan pelembap, toner dan primer merupakan langkah paling penting sebelum sebarang solekan disapu, kerana keadaan kulit yang terhidrat dan seimbang membantu solekan kelihatan lebih semula jadi serta tidak mudah bercapuk.

pic-4

“Jika kulit tidak disediakan dengan betul, bedak asas akan nampak tidak sekata. Pastikan kulit cukup lembap supaya hasilnya lebih halus dan mampu bertahan lebih lama meskipun sibuk berkunjung ke rumah terbuka,” katanya.

Selain itu, Ezad turut mengingatkan agar pemilihan rona bedak asas mestilah hampir sama dengan warna kulit wajah dan bukannya berpandukan ton kulit tangan bagi mengelakkan wajah kelihatan terlalu putih atau tidak seimbang.

Katanya sapuan bedak asas juga seharusnya dilakukan secara nipis agar kulit masih dapat “bernafas” dan wajah kekal kelihatan segar sepanjang hari.

Sementara itu, seorang peserta bengkel, Maizatul Nurain Syazwana Muhammad Akhir, 22, menyifatkan perkongsian berkenaan memberi pendedahan berguna mengenai teknik asas tatarias.

“Sesi ini bagus terutamanya untuk wanita, sebab sekarang dunia kosmetik berkembang pesat. Jadi penting untuk kita tahu teknik mekap yang betul supaya hasilnya tidak nampak crack atau terlalu tebal,” kata pelajar komunikasi massa Universiti Teknologi MARA  itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535883