AM

Surau An-Nur Parit 3 Tengah Kekalkan Tradisi Paluan Beduk Diwarisi Hampir 70 Tahun

15/03/2026 12:00 PM

Oleh Razif Rosli

BAGAN SERAI, 15 Mac (Bernama) -- Tatkala kebanyakan surau dan masjid kini beralih sepenuhnya kepada sistem pembesar suara moden bagi menandakan masuknya waktu solat, Surau An-Nur Parit 3 Tengah Alor Setanggok masih mengekalkan tradisi paluan beduk yang diwarisi hampir 70 tahun.

Bergema lima kali sehari tanpa mengira Ramadan mahupun Syawal, dentuman beduk yang memecah kesunyian kampung itu terus dipertahankan sebagai lambang identiti setempat ketika amalan berkenaan semakin jarang ditemui di kawasan lain.

Pengerusi surau, Muhammad Sarif Wageman berkata amalan yang diteruskan itu bukan sekadar nostalgia, sebaliknya sebagai usaha memelihara warisan dan sejarah komuniti setempat.

Beliau berkata penggunaan beduk yang turut dikenali sebagai ‘keluntung’ atau ‘kelentong’ dalam dialek Banjar dikekalkan sebagai pelengkap kepada azan.

“Keputusan memalu beduk setiap kali masuk waktu solat adalah usaha memelihara identiti dan sejarah setempat walaupun amalan ini semakin pupus dan sukar ditemui di surau atau masjid lain di negeri ini.

“Sebelum ini, Kampung Parit yang terbahagi kepada Parit 3 Atas, Parit 3 Tengah dan Parit 3 Bawah masing-masing mempunyai beduk. Kini hanya Parit 3 Tengah yang masih mengamalkannya untuk tatapan generasi muda,” katanya kepada Bernama.

Warga emas berusia 61 tahun ini berkata paluan beduk di kampung itu tidak sekadar menjadi ‘detik dinanti’ sebagai pemakluman waktu solat, malah berfungsi sebagai medium komunikasi masyarakat setempat dalam menyampaikan sesuatu maklumat. 

Beliau berkata sekiranya berlaku kematian atau sebarang kejadian tidak diingini, beduk akan dipalu dengan rentak tertentu sebagai isyarat kepada penduduk supaya segera mengambil maklum.

“Dulu, bunyi beduk bukan sekadar panggilan solat. Ia tanda orang kampung akan berkumpul sama ada bagi urusan kecemasan, gotong-royong atau majlis ilmu, melambangkan kebersamaan.

“Namun kini, beduk hanya dipalu setiap kali masuk waktu solat oleh siak atau petugas yang ditugaskan,” katanya.

Beliau berkata teknik paluan yang betul turut diajar kepada kanak-kanak sebagai usaha kesinambungan warisan itu dan garis panduan penggunaannya ditetapkan dengan memastikan tempoh paluan singkat, lazimnya antara 10 hingga 15 saat sebelum azan dilaungkan.

Muhammad Sarif  berkata tempoh masa memainkan peranan iaitu paluan selama 10 saat pertama bertujuan memberi peringatan awal kepada penduduk setempat mengenai masuknya waktu solat sementara dentuman terakhir diperlahankan sedikit sebagai isyarat tambahan, disesuaikan mengikut jumlah rakaat solat ketika itu. 

Menurutnya, bunyi beduk boleh didengari sehingga kira-kira setengah kilometer dalam keadaan biasa, meliputi keseluruhan 64 rumah dengan 221 penduduk di kawasan kariah kampung berkenaan yang majoritinya berketurunan Banjar.

Mengenai keunikan beduk di surau itu, beliau berkata kebiasaannya gendang diperbuat daripada kulit dan bersaiz besar, namun beduk di surau berkenaan mempunyai ciri tersendiri yang membezakannya daripada gendang biasa.

“Ada yang mengatakan ia menggunakan kayu nangka, kayu tempinis atau beberapa jenis kayu keras lain, namun saya tidak pasti jenis kayu asalnya. Ia agak berat dan bunyinya juga dipengaruhi keadaan angin,” katanya sambil berharap warisan itu terus dipertahankan agar tidak luput ditelan zaman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534590