AM

Anwar Harap Cuti Tambahan, SHMMP Bantu Persiapan Rakyat Menjelang Aidilfitri

15/03/2026 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap beberapa pengumuman khusus untuk rakyat dapat memberikan kemudahan menjelang Aidilfitri.

Menerusi platform X hari ini, Anwar berkata pengumuman cuti tambahan dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat, memastikan harga barangan kekal berpatutan, selain memudahkan perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Semoga Syawal yang bakal tiba membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang Ramadan.

Penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal, iaitu sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, Isnin (23 Mac) ditetapkan sebagai cuti tambahan, sebaliknya jika Aidilfitri disambut pada Sabtu (21 Mac), cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac) .

Bagi SHMMP Aidilfitri 2026 pula, ia dilaksanakan dari 14 hingga 28 Mac bagi mengawal harga barangan keperluan semasa musim perayaan melibatkan 27 jenis barangan berbanding 26 pada tahun lepas

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534757