GAYA HIDUP

Lebihan Kain Batik Jadi Aksesori Unik

14/03/2026 11:41 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Lebihan kain batik yang biasanya dibuang begitu sahaja sebenarnya boleh diberi nafas baharu menjadi aksesori fesyen yang unik dan menarik.

Di tangan kreatif usahawan muda, potongan kecil kain bermotif tradisional itu diolah menjadi anting-anting, pin tudung dan kerongsang yang bukan sahaja cantik digayakan, malah membawa sentuhan warisan tempatan.

Idea itu menjadi asas penubuhan jenama aksesori tempatan Oh Dayang, yang menghasilkan pelbagai aksesori daripada lebihan kain batik dengan corak dan ciri-ciri tersendiri.

pic-2

Bagi Dayang Nur Arina M. Roslan, 25, usaha itu bukan sekadar menghasilkan aksesori yang bergaya, tetapi juga memanfaatkan bahan terpakai sambil memperkenalkan keindahan batik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih moden dan versatil.

Berkongsi perjalanan aksesori jenama Oh Dayang, usahawan itu berkata perniagaannya bermula pada 2018, dicetuskan oleh minat kakaknya Dayang Nur Syafiqah, yang sering menghasilkan gelang dan aksesori kecil daripada kain batik lama.

“Pada awalnya, kami hanya menghasilkan aksesori seperti anting-anting dan gelang daripada kain batik lama yang dikitar semula. Setiap helaian dipotong dan diolah dengan teliti, menjadikan setiap aksesori itu unik walaupun berasal daripada bahan terpakai.

“Dari situ kami mula melihat potensi batik untuk dijadikan aksesori fesyen yang lebih moden,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Seiring dengan sambutan yang semakin menggalakkan, Oh Dayang mula bereksperimen menerusi  pelbagai rekaan baharu yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, antaranya  pin tudung, kerongsang, klip rambut, rantai beg dan rantai telefon daripada batik tempatan.

Menurut Dayang Nur Arina, antara produk yang paling mendapat sambutan, terutama ketika musim perayaan, ialah pin tudung yang kini menjadi trend dalam kalangan wanita berhijab.

“Ketika produk itu diperkenalkan, sambutan pelanggan amat menggalakkan sehingga stok yang dihasilkan habis dijual dalam tempoh singkat. Tahun ini kami membuat sedikit kelainan dengan memperkenalkan koleksi batik yang dilukis tangan sepenuhnya,” katanya.

pic-4

Walaupun mengekalkan unsur tradisional batik, reka bentuk aksesori yang dihasilkan  disesuaikan dengan gaya moden agar kekal relevan serta mampu menarik minat generasi muda.

Menariknya, aksesori berasaskan batik keluaran Oh Dayang bukan sahaja mendapat sambutan pelanggan tempatan, tetapi juga pembeli dari luar negara termasuk Jerman dan Australia dengan harga bergantung pada jenis produk dan rekaan, bermula RM29 hingga RM79.

pic-5

Katanya sambutan yang diterima itu membuktikan tekstil warisan tempatan seperti batik masih mempunyai tempat dalam dunia fesyen moden.

“Batik sentiasa relevan kerana setiap helaian membawa identiti Malaysia. Jadi pemakainya bukan sahaja tampil bergaya, tetapi dalam masa sama mengekalkan warisan tempatan,” katanya yang berharap dapat membuka kedai fizikal suatu hari nanti bagi memudahkan pelanggan datang melihat dan mencuba sendiri aksesori yang ditawarkan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534286