Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kemeriahan umat Islam membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri yang berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi kian dirasai, dengan masing-masing sudah mula mencari barangan yang diperlukan dalam memastikan sambutan hari lebaran berjalan lancar.
Selain baju raya, hiasan rumah, yang tidak kurang penting ialah hidangan untuk dijamu kepada keluarga dan juga tetamu yang datang bertandang, dan bagi kebanyakan keluarga, sambutan Aidilfitri bagaikan tidak lengkap tanpa ketupat dalam anyaman daun kelapa.
Hidangan tradisional ini lazimnya dinikmati bersama-sama dengan rendang yang kaya rempah ataupun kuah kacang yang pekat atau sayur lodeh.
Namun di sebalik menjadi hidangan kegemaran ramai, timbul kebimbangan akan kelangsungan juadah ini memandangkan sudah tidak ramai yang tahu menganyam ketupat, khususnya generasi muda, kata usahawan Nur Fatin Yasmin Firdaus.
pic-2
“Trend sekarang ialah beli sarung ketupat yang sudah siap kerana lebih mudah dan menjimatkan masa. Menganyam sarung ketupat ini renyah, namun, kalau tidak ada yang mahu belajar dan meneruskan kemahiran ini, lama-kelamaan seni anyam ketupat akan hilang,” katanya ketika ditemui Bernama di Bengkel Anyam Ketupat bersempena dengan program RIUH Raya Baik Baik, di sini baru-baru ini.
Bertitik tolak daripada kebimbangan itu, Nur Fatin, 25, yang juga pengasas Ruang Memoir, sebuah ruang komuniti yang menggabungkan konsep kafe dan penganjuran acara kreatif, mengambil inisiatif berkongsi kemahiran tersebut melalui bengkel anyaman ketupat bagi memberi peluang kepada orang ramai mencuba sendiri seni tradisi berkenaan.
Menurutnya, ramai beranggapan menganyam ketupat sukar untuk dipelajari, namun tanggapan itu sebenarnya kurang tepat kerana persiapan juadah tersebut tidaklah serumit yang disangka.
“Saya harap melalui perkongsian ini, walaupun mereka mungkin tidak berjaya pada percubaan pertama, mereka akan cuba lagi. Mana tahu suatu hari nanti mereka boleh menganyam sendiri ketupat apabila tiba Hari Raya,” katanya.
pic-3
Minatnya terhadap seni tradisi itu bermula pada usia 10 tahun apabila beliau sering memerhati seorang pengusaha kantin di sekolahnya menganyam daun kelapa sehingga terbentuk sarung ketupat yang kemas.
“Timbul perasaan ingin tahu dan mempelajarinya kerana saya tertanya-tanya bagaimana dua helai daun kelapa boleh berubah menjadi sarung ketupat. Jadi, setiap kali waktu rehat atau selepas sekolah, saya akan duduk melihat mak cik kantin menganyam sambil cuba belajar daripadanya,” katanya.
Menurut Nur Fatin, beliau mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menguasai asas teknik beberapa anyaman ketupat seperti anyaman ketupat sate, bawang dan jantung yang memerlukan ketelitian serta kesabaran kerana kesilapan kecil boleh menyebabkan anyaman menjadi bersimpul atau terlerai.
“Pada awalnya memang agak sukar kerana kita tidak tahu bahagian mana perlu dimasukkan atau diselit. Tetapi apabila sering mencuba, pola anyaman akan mula difahami dan lama-kelamaan prosesnya menjadi lebih mudah,” katanya yang berpendapat kepuasan melihat sarung ketupat yang siap dianyam dengan tangan sendiri merupakan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
pic-4
Sementara itu, seorang peserta bengkel Ashraf Azahan Mohd Raisham, 24, yang bekerja sebagai barista di Shah Alam, Selangor, berkata kemahiran menganyam ketupat wajar dipelajari oleh generasi muda bagi memastikan tradisi tersebut terus hidup.
“Ketupat memang hidangan tradisi setiap kali raya, sebab itu saya rasa orang muda kena belajar buat sendiri. Kalau tidak, lama-kelamaan mungkin generasi akan datang sudah tidak tahu bagaimana hendak menganyam ketupat,” katanya, menambah hidangan itu juadah wajib yang sentiasa dinanti-nantikan oleh keluarganya pada pagi Aidilfitri.
-- BERNAMA