RENCANA

Dahulu Pandang Rendah, Kini SM Raja Penggiat Aktif Mural

12/03/2026 10:45 AM
Daripada Balkish Awang

Meskipun berkelulusan sarjana muda dalam bidang seni halus,  Muhammad Riduan Raja Yunus tidak pernah menganggap mural sebagai satu bidang seni bernilai tinggi, apatah lagi berpotensi besar dalam menjana pendapatan.

Justeru, lepasan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini menumpukan sepenuh perhatian pada penghasilan lukisan sebagai sumber pendapatan utama sebaik tamat pengajian pada 2019, dengan berpindah ke Shah Alam, Selangor dan menetap bersama-sama dengan alumni Universiti Teknologi MARA di Studio Temu U12.

Namun, tidak seperti jangkaannya. Selepas setahun bergiat sebagai artis visual, sambutan terhadap karyanya hambar dan dia tidak dapat menjual waima sebuah lukisan. Demi memastikan dapur terus berasap, Muhammad Riduan bekerja sebagai penghantar makanan.

Pun begitu, dia masih dengan tanggapan mural merupakan seni murahan dan dia tidak akan melibatkan diri dalam cabang seni itu. 

 

UBAH HALUAN

 

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, artis berusia 31 tahun ini yang menggunakan nama pena SM Raja, berkata sepanjang tinggal di studio tersebut, ada dalam kalangan rakan-rakannya mengajak dia menceburi bidang seni mural namun ditolak.

“Bagi saya, mural adalah satu bentuk seni paling rendah, dan kerana itulah saya tidak mahu terlibat dalam cabang seni ini,” ceritanya kepada Bernama baru-baru ini. 


Muhammad Riduan Raja Yunus .--fotoBERNAMA

Di sebalik kegagalan menjual lukisannya, Muhammad Riduan tidak berputus asa dalam meneruskan impiannya menjadi artis visual dan mula menghasilkan lukisan yang berbeza, iaitu daripada “still life” kepada lukisan “halftone”.

Namun, pengalaman pertama menghasilkan mural ketika bekerja di taman tema SkyWorld Genting, mengubah sedikit persepsinya terhadap lukisan dinding.

“Pada awal 2020, saya dapat tawaran bekerja di SkyWorld Genting. Saya ingatkan bekerja sebagai artis, tetapi rupa-rupanya jadi ‘muralist’. Saya tidak lama di situ, cuma dua bulan kerana negara dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

Selepas itu, dia kembali ke studio dan terus menghasilkan lukisan. Pada September 2020,  dia menyertai pameran di Galeri Prima di mana dia akhirnya berjaya menjual sebuah karyanya.

"Ketika itu saya berasa sangat teruja dan gembira kerana setelah setahun menghasilkan karya akhirnya lukisan saya terjual buat kali pertama. Namun, kegembiraan saya cuma setakat itu kerana hingga Disember 2020 saya tidak menerima bayaran daripada jualan berkenaan,” katanya.

 

TAK KENAL MAKA TAK CINTA 

 

Tahun berganti. Pengalaman pahit itu menjadi pendorong baginya untuk memulakan haluan baharu pada Januari 2021 dengan menceburi dunia mural secara lebih serius. Karya pertamanya yang dihasilkan bersama-sama dengan pelukis mural Tongkang mengubah sepenuhnya tanggapan Muhammad Riduan terhadap seni tersebut. 

Mural itu yang memaparkan 16 potret termasuk wajah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada badan pesawat Boeing 737 yang diletakkan di depan sebuah hotel berdekatan Lebuhraya Sungai Besi, membuktikan potensi besar cabang seni tersebut dalam menjana pendapatan lumayan. 

"Ketika itu saya terkejut apabila dibayar RM100 sehari hanya untuk melukis mural. Sedangkan sebelum ini untuk mendapatkan RM100 saya perlu bekerja menghantar makanan dari pagi hingga malam," katanya.

Dia kemudian menyertai Art Battalion, sebuah syarikat mural profesional dan pakar dalam menghasilkan karya seni dinding, grafiti serta reka bentuk kreatif untuk kediaman, premis komersial dan bangunan ikonik di seluruh negara. 


Mural hasil nukilan SM Raja di LRT Ampang Park.--fotoBERNAMA

Ketika itu, Muhammad Riduan mula mengenali pelukis-pelukis yang sudah lama mengabdi diri dalam dunia mural dan mempelajari teknik sebenar melukis mural.

"Semasa di Art Battalion, ada ahli sedang berbincang mengenai projek mural yang bakal dijalankan di Bangi. Disebabkan tertarik dengan reka bentuk yang dihasilkan, saya menawarkan diri untuk menyertai projek tersebut tanpa bertanya tentang bayaran. Pada ketika itu, peluang untuk melukis mural dengan reka bentuk yang menarik sudah cukup memberi semangat buat saya.

"Apabila projek tersebut selesai saya menerima bayaran sebanyak RM1,300 untuk kerja selama tiga hari. Saya benar-benar terkejut dengan bayaran yang dianggap besar buat saya, dan pada masa itu saya mula menyedari bahawa bakat yang dimiliki sebenarnya boleh menjadi kerjaya yang bernilai," ujarnya yang dibayar berdasarkan projek oleh Art Battalion.

Pada penghujung 2021, Muhammad Riduan diuji dengan satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan itu menyebabkan kakinya patah dan dia terpaksa pulang ke kampung halaman di Pasir Puteh, Kelantan untuk berehat dan menjalani proses pemulihan.

"Pada Mac 2022 saya kembali ke Shah Alam untuk meneruskan kerjaya sebagai ‘muralist’ walaupun belum pulih sepenuhnya.

"Sejak itu saya aktif menghasilkan pelbagai mural dan menjadi pelukis mural sepenuh masa. Satu kerjaya yang dahulunya saya pandang serong kini merupakan punca utama pendapatan saya. Baru saya nampak dan percaya  bidang mural ini benar-benar mampu pergi jauh selain dapat menjana pendapatan lumayan," katanya yang hingga kini telah menghasilkan lebih 1,000 mural di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang. 

 

CABARAN 

 

Melukis mural membawa cabaran tersendiri, dan bagi  Muhammad Riduan, antara pengalaman menarik yang pernah dilaluinya adalah ketika menyiapkan lukisan pada struktur berbentuk bulat.

"Dalam banyak-banyak mural, ada satu projek di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jeli yang memberikan saya pengalaman berbeza. Ini kerana kerana permukaan yang perlu dilukis bukanlah dinding rata seperti kebiasaan, sebaliknya sebuah sfera yang besar. 


Melukis mural pada struktur berbentuk bulat memberikan cabaran tersendiri buat SM Raja.-- fotoBERNAMA.

"Permukaan yang melengkung menuntut pendekatan visual berbeza, dengan setiap garisan, bentuk dan komposisi perlu disesuaikan mengikut perspektif bulatan agar imej yang dihasilkan kekal seimbang apabila dilihat dari pelbagai sudut. Memang agak sukar kerana bentuknya yang bulat dan ketinggian struktur pula bersamaan dengan dua setengah tingkat bangunan," katanya yang mempunyai seorang pembantu.

Jelasnya,  melukis mural pada permukaan bulat memerlukan ketelitian yang tinggi dalam proses melakar dan mengecat kerana sedikit perubahan pada lengkungan permukaan mampu mengubah bentuk visual keseluruhan karya.

Selain itu, faktor cuaca turut memberi kekangan buatnya kerana penghasilan mural di lokasi tersebut dilakukan semasa musim tengkujuh. 

"Keadaan hujan yang kerap dan permukaan yang sentiasa lembap memberi kesan kepada pengecatan dan pengeringan cat. Bayangkan, saya telah siapkan mural dan pulang ke Kuala Lumpur. Namun tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebat dan berterusan, menyebabkan kawasan sekitar UMK, Jeli dilanda banjir yang agak teruk. 

"Seminggu selepas itu pihak universiti memaklumkan bahawa mural tersebut telah hilang sepenuhnya, kerana cat yang digunakan tidak sempat kering sebelum ‘dibasuh’ oleh air hujan," katanya yang kemudian kembali ke fakulti berkenaan bagi melakukan kerja sentuhan semula pada mural tersebut.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Muhammad Riduan berkata insiden tersebut membawa satu pengajaran yang sangat bermakna berhubung cabaran sebenar menghasilkan karya seni di ruang awam yang sentiasa terdedah kepada faktor alam.

Satu lagi lokasi strategik yang memiliki sentuhan Muhammad Riduan ialah Stesen LRT Ampang Park yang mengangkat tema perpaduan, mengetengahkan masyarakat berbilang kaum yang kaya dengan pelbagai hidangan seperti roti canai, kuih-muih serta buah-buahan tempatan.

"Untuk mural di sini (LRT Ampang Park) saya perlu melukis 40 orang… memang mencabar dan kerja melukis pula hanya boleh dibuat dalam tempoh 12 tengah malam hingga 4 pagi sahaja. Untuk projek ini yang dibuat pada bulan Disember tahun lepas memakan masa selama sebulan berikutan tempoh masa melukis yang agak terhad," katanya, menambah tempoh siap sesebuah mural mengambil masa minimum tiga ke empat hari.

Cabaran lain adalah apabila perlu melukis pada dinding bangunan usang atau melibatkan persekitara berhabuk. Malah, kata Muhammad Riduan, dia  juga pernah terkena balingan sampah semasa melukis mural.


Muhammad Riduan Raja Yunus ketika ditemu bual wartawan Bernama baru-baru ini.-- fotoBERNAMA

Di sebalik semua itu, dia berasa puas apabila sesuatu mural lakarannya berjaya disiapkan mengikut permintaan pelanggan. 

"Bertambah seronok lagi apabila kita rekod video dari mula proses hingga siap sepenuhnya, kemudian dimuat naik ke media sosial. Rasa bertambah bersemangat  apabila ramai yang memberikan kata-kata pujian dan menghargai setiap karya dihasilkan," katanya.

 

IMPIAN 

 

Menjadi impian Muhammad Riduan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni mural. Dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang dia menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu karya mural hasil sentuhannya.

Bukan itu sahaja, dia turut memasang hasrat untuk melebarkan lakaran muralnya ke peringkat antarabangsa termasuk di Indonesia dan Filipina.

“Ini merupakan cita-cita saya,” katanya.

Berbicara tentang mural, artis ini berkata seni tersebut mempunyai nilai penceritaan dan keistimewaan tersendiri kerana mural bukan sekadar hiasan visual, sebaliknya medium untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai.

“Mural ini tidak seperti kain rentang atau poster, tetapi adalah satu seni yang dihasilkan berdasarkan pelbagai tema dan diolah dengan isi hati pelukis. Kita menceritakan sesuatu melalui lakaran dan lukisan,” jelasnya.


impian Muhammad Riduan mahu setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu karya mural hasil sentuhannya.--fotoBERNAMA

Menurutnya, antara tema yang sering diangkat dalam projek muralnya ialah perpaduan, masyarakat majmuk, elemen tropika serta flora dan fauna.

Dalam masa sama, karyawan kreatif ini menitipkan nasihat kepada golongan muda yang berminat menjadikan mural sebagai kerjaya agar menjadikan minat sebagai kunci utama untuk pergi lebih jauh dalam bidang tersebut dan tidak bersandarkan pada bakat semata-mata.

Namun katanya, minat anak muda terhadap bidang mural kini semakin berkurangan kerana ramai yang lebih cenderung memilih cabang teknologi.

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533390