MELAKA, 12 Mac (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan geran kebudayaan berjumlah RM30,000 pada dua tahun lepas.
Sara Frederica Santa Maria, 57, dan suaminya, Sikim Gompongan, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa secara bersama telah tidak jujur menyalahgunakan harta, iaitu wang peruntukan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi Program Pesta De San Pedro 2024.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Melaka Raya di sini, antara 26 Jun hingga 25 Sept 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Syakila Yaacob memohon jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Cassian Anthony yang mewakili pasangan itu memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bergantung hidup pada wang pemberian empat anak mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA