Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Trend menghasilkan potret individu atau keluarga menggunakan kecerdasan buatan (AI) semakin mendapat perhatian bukan sahaja kerana mudah dan cepat, tetapi juga membolehkan kreativiti diterjemahkan mengikut imaginasi tanpa had.
Menjelang Aidilfitri, “perang poster” digital membanjiri platform media sosial apabila ramai warga maya berkongsi rekaan unik, daripada potret bergaya studio, kad raya “pop-up” tiga dimensi hinggalah visual kreatif, yang seolah-olah muncul dari halaman buku.
Hanya muat naik gambar sendiri dengan beberapa arahan teks atau prompt di aplikasi AI, potret indah termasuk latar suasana kampung dan elemen ketupat dapat dihasilkan tanpa perlu menempah sesi fotografi profesional, membolehkan setiap keluarga menghasilkan kenangan digital tersendiri yang boleh disimpan atau dikongsi.
Pentadbir komuniti kreatif AI Prompters Malaya, Afiq Yahaya, 37, berkata minat menghasilkan poster raya menggunakan AI semakin meningkat kerana masyarakat Malaysia sememangnya gemar berkongsi suasana perayaan di media sosial.
pic-2
“Sejak awal Ramadan, pengguna sudah mula berkongsi poster raya yang dijana menggunakan AI. Biasanya seminggu sebelum Aidilfitri, jumlah perkongsian meningkat kerana ramai mahu mencuba konsep baharu dan berkongsi dengan rakan-rakan di media sosial atau WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Afiq, prompt lazimnya mengandungi perincian subjek, latar belakang, pencahayaan serta gaya visual tertentu bagi memastikan imej yang dijana lebih realistik dan menepati idea pengguna.
Semakin terperinci prompt yang diberikan kian tepat hasil imej yang dijana, katanya.
pic-3
“Prompt itu adalah cara kita berkomunikasi dengan AI dan arahan yang diberikan perlu jelas seperti konsep visual, latar belakang, gaya seni serta elemen tertentu supaya hasil yang dijana lebih tepat dengan apa yang kita bayangkan,” katanya.
Bagaimanapun, Afiq menekankan AI hanya berfungsi sebagai alat, manakala kreativiti individu tetap memainkan peranan penting dalam menghasilkan visual menarik.
“AI memudahkan proses menghasilkan karya, tetapi idea, pengalaman dan kreativiti masih datang daripada manusia. Dua orang boleh menggunakan prompt yang sama tetapi hasilnya tetap berbeza bergantung pada kreativiti masing-masing,” katanya.
pic-4
Seorang pengguna media sosial, Abdul Wafi, berkata dia tertarik untuk mencuba menghasilkan poster raya menggunakan AI kerana ingin menghasilkan ucapan lebih kreatif berbanding kad digital biasa.
“Dengan AI, kita boleh cuba pelbagai idea seperti suasana kampung, gaya studio atau ilustrasi kartun hanya dengan menulis arahan. Proses ini menyeronokkan kerana kita boleh lihat idea sendiri diterjemahkan menjadi visual,” katanya.
-- BERNAMA