DUNIA

Parlimen Baharu Thailand Akan Bersidang Pada 14 Mac

11/03/2026 05:00 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 11 Mac (Bernama) -- Parlimen baharu Thailand akan mengadakan majlis pembukaannya pada Sabtu (14 Mac) susulan pilihan raya umum bulan lepas, menurut pengumuman dalam Warta Diraja pada Rabu.

Warta Diraja menerbitkan perintah diraja yang dikeluarkan oleh Raja Maha Vajiralongkorn yang mengarahkan parlimen bersidang bermula tarikh tersebut dan seterusnya.

"Hari ini (14 Mac) dianggap sebagai permulaan sidang parlimen tahunan biasa yang pertama. Di bawah kuasa Seksyen 121, 122, dan 175 Perlembagaan Kerajaan Thailand, Baginda Raja Maha Vajiralongkorn telah dengan titah perkenan mengeluarkan Dekri Diraja memanggil parlimen bersidang mulai 14 Mac 2026," katanya.

Rabu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) secara rasmi mengesahkan 499 daripada 500 kerusi parlimen daripada pilihan raya umum Februari, sekali gus membuka jalan kepada Dewan Perwakilan yang baharu untuk bersidang.

Media tempatan Thailand melaporkan bahawa EC masih belum mengesahkan kerusi Suphan Buri 2 berikutan dakwaan ketidakaturan.

Keputusan yang disahkan menunjukkan bahawa Parti Bhumjaithai memperoleh 192 kerusi, diikuti oleh Parti Rakyat dengan 120 kerusi, Pheu Thai dengan 74 kerusi, dan Kla Tham dengan 58 kerusi.

Di bawah undang-undang Thailand, parlimen baharu mesti bersidang dalam tempoh 15 hari selepas pengesahan sekurang-kurangnya 475 kerusi, bersamaan dengan 95 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dewan terlebih dahulu akan memilih Speaker dan Timbalan Speaker, selepas itu ahli-ahli akan mengundi untuk memilih Perdana Menteri, yang kemudiannya akan meneruskan proses pembentukan kerajaan baharu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533145