AM

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Ceriakan Pahmi Menjelang Aidilfitri

11/03/2026 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, bekas penyunting Harian Metro Pahmi Mat Ali menerima kunjungan istimewa Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini, yang turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.

Sumbangan yang disampaikan di kediamannya di Gombak Setia di sini, bertujuan meringankan beban Pahmi, 60, dalam membuat persiapan menyambut Syawal selain menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media yang diuji masalah kesihatan.

Pahmi yang telah berkhidmat selama 23 tahun dalam dunia kewartawanan dari 1997 hingga 2020, kini berdepan cabaran kesihatan akibat penyakit diabetes, glaukoma, katarak serta tekanan darah tinggi.

Bagi veteran media itu, sumbangan berkenaan amat bermakna dan menyentuh hatinya kerana walaupun tidak lagi bergiat dalam dunia kewartawanan, jasanya masih diingati.

“Saya sangat terharu kerana walaupun sudah tidak bekerja dalam bidang ini, masih ada yang mengingati dan menghargai jasa saya.

“Kalau zaman saya dulu, jika ada rakan-rakan berdepan masalah, kita sama-sama buat kutipan sumbangan. Kini dengan inisiatif tabung ini, kerajaan turut membantu kami yang memerlukan...kebajikan kami masih diberi perhatian,” katanya kepada Bernama dan RTM.

Turut hadir pada penyerahan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Pahmi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, inisiatif seperti Tabung Kasih@HAWANA wajar diteruskan bagi membantu wartawan serta bekas wartawan yang memerlukan bantuan, selain memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diberi perhatian.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai pengelola inisiatif itu kerana usaha berterusan untuk menyatuni golongan petugas media yang kurang bernasib baik.

Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 669 pengamal media di seluruh negara dengan hampir RM2 juta dana disalurkan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533143