GAYA HIDUP

Lagu Raya Moden Kurang "Menyengat", Alunan Klasik Tetap Pilihan

11/03/2026 09:58 AM

Oleh Nur Aimidiyana Zuher

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Setiap kali menjelang Aidilfitri, industri muzik tanah air pastinya dimeriahkan dengan kemunculan lagu-lagu raya baharu yang menambah warna dan keriangan sambutan Syawal.

Bagaimanapun, trend semasa lagu raya bertempo rancak atau “catchy” yang memenuhi platform media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan peminat muzik akan kualiti lagu yang dianggap sekadar tangkap muat dan kurang menyentuh jiwa.

pic-2

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata lagu raya yang berkualiti bukan sekadar enak didengar, tetapi harus mampu menterjemah mesej kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan.

"Meskipun susunan muzik lagu raya klasik lebih ringkas, kesederhanaan itulah yang memberikan ruang kepada emosi yang lebih mendalam untuk meresap ke sanubari pendengar," katanya kepada Bernama.

Muhammad Fazli berkata penggunaan gaya muzik yang dekat dengan identiti muzik Melayu dan pop tradisional menjadikan lagu-lagu lama kekal dekat di hati masyarakat, serta mampu mencetuskan nostalgia serta rasa rindu terhadap suasana Aidilfitri.

“Contohnya lagu ‘Suasana Hari Raya' nyanyian Anuar Zain dan Ellina. Melodinya sederhana tetapi sangat kuat dari segi emosi. Susunan muzik yang ceria itu berjaya menggambarkan kemeriahan Aidilfitri bersama-sama keluarga dan sering dimainkan setiap kali musim perayaan kerana mampu membangkitkan nostalgia dalam masyarakat kita,” katanya.

pic-3

Senada dengan pandangan itu, penulis lirik Dr Mohd Azam Sulong atau Dr Azam Dungun berkata rahsia di sebalik lagu raya yang mampu bertahan menjadi malar segar terletak pada kekuatan melodi dan “hook” yang melekat dalam ingatan pendengar. 

Katanya susunan muzik perlu menyokong melodi dan lirik dengan keseimbangan antara elemen tradisional dan moden agar mesej emosi tersalur dengan jelas. 

“Dengan pendekatan ini, lagu raya tidak hanya mengikuti trend semasa, tetapi mampu membina hubungan emosi yang mendalam dan kekal relevan merentasi generasi,” katanya yang pernah menulis lirik untuk biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza  bagi lagu ‘Nian Di Hati’ dan ‘Seloka Budi’.

pic-4

Sementara itu, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun, 42, berkata generasi hari ini gemarkan sesuatu yang cepat dan menangkap pendengaran, selari dengan selera lirik yang ringkas serta padat.

“Lagu raya baharu agak mencabar, kerana faktor algoritma, ‘retention’ atau pengekalan. Rata-rata berkisar pada lagu yang berentak laju dan santai, dan ini menyebabkan tidak banyak lagu dengan tema berbeza ditampilkan,” kata pelantun lagu Zikir Dikir itu.

Hafiz yang berkecimpung dalam industri seni sejak 2002, turut berpendapat  lagu raya baharu yang bersifat komersial mempunyai peluang tersendiri untuk menyerlah dalam kalangan masyarakat moden.

“Saya akan tetap menghargai lagu-lagu raya lama. Tetapi, dalam masa yang sama, saya akan tetap menyokong penghasilan lagu-lagu raya baharu, sesuai dengan selera pendengar masa kini,” katanya yang juga penerbit muzik.

pic-5

Bagi penyanyi Fairuz Selamat, 41, lagu raya merupakan karya bermusim yang memerlukan identiti kuat, tanpa mengira genre sama ada pop, rock, dangdut ataupun balada.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, berkata tiada garis panduan dan skema tertentu dalam penciptaan lagu raya, namun mood raya perlu ada dalam lagu tersebut.

“Saya tidak kisah lagu lama atau baharu, moden atau klasik, rancak atau perlahan, asalkan... apabila kita pejam mata, kita tahu itu lagu raya,” kata bekas vokalis dan ahli kumpulan Q-Face yang terkenal dengan lagu ‘Izinkanlah’ dan ‘Cinta Tak Sehaluan’ di awal era 2000-an.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532887