GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukkan RM4.8 juta bagi pelaksanaan Program Nur Ramadan 1447H kepada 14,126 penerima di seluruh negeri tahun ini, menurut Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata daripada jumlah tersebut, RM3.3 juta diperuntukkan bagi bantuan tunai manakala RM1.5 juta lagi disalurkan dalam bentuk e-hamper kepada penerima yang layak.
"Agihan bantuan itu melibatkan beberapa kategori penerima antaranya 4,126 penerima skim bantuan kewangan dan makanan bulanan termasuk penerima skim bantuan yang masing-masing menerima RM800 tunai yang dikreditkan terus ke akaun bank dan RM100 dalam bentuk e-hamper yang boleh ditebus menggunakan kad pengenalan di premis ditetapkan.
"Selain itu, seramai 10,000 penerima tambahan dikenal pasti melalui cadangan kariah masjid di seluruh negeri yang akan menerima bantuan e-hamper bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat manfaat," katanya pada Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447 H di Masjid Al Mustaqhfirin di Bayan Lepas dekat sini.
Beliau berkata program itu merupakan antara usaha tahunan yang dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan serta komitmen berterusan dalam menyantuni golongan asnaf yang memerlukan, khususnya sempena bulan Ramadan.
Mohamad berkata Program Agihan Nur Ramadan dilaksanakan secara konsisten oleh Zakat MAINPP dan pada peringkat awal, tumpuan diberikan kepada asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan serta bantuan makanan bulanan.
Namun, katanya program itu telah diperluaskan menjadi satu inisiatif bantuan yang lebih menyeluruh dan dirangka bagi membantu golongan asnaf membuat persiapan lebih teratur sekali gus meringankan beban kewangan sepanjang Ramadan.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui MAINPP terus komited dalam memperkasa institusi masjid dengan menyediakan RM25.3 juta bagi pembangunan masjid dan surau di seluruh negeri tahun ini, meningkat berbanding RM17.670 juta pada tahun lepas.
"Selain pembangunan struktur dan pengukuhan tadbir urus institusi masjid, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada usaha mengimarahkan masjid, khususnya sepanjang Ramadan dan RM265,000 sumbangan Ihya’ Ramadan disalurkan kepada semua masjid di Pulau Pinang," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan pengimarahan masjid kepada Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Pelancongan serta masjid-masjid daerah di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1 juta.
-- BERNAMA