AM

Individu Perlu Miliki Integriti Tinggi Sebelum Diberi Tanggungjawab

11/03/2026 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Integriti seseorang individu perlu dipastikan sebelum mereka diambil bekerja dalam mana-mana organisasi, terutamanya bagi jawatan melibatkan amanah dan tanggungjawab awam.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata integriti tidak seharusnya hanya dipupuk sepanjang kerjaya seseorang, sebaliknya sudah wujud dan menjadi nilai asas dalam diri individu sebelum memasuki perkhidmatan.

Beliau berkata demikian semasa temu bual bersama Bernama TV bertajuk Harga Sebuah Integriti: Ancaman dan Fitnah, kekuatan sesebuah organisasi atau negara bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki. 

Justeru, individu yang diberi tanggungjawab melibatkan kepentingan negara dan orang awam di Malaysia mesti memiliki tahap integriti yang tinggi kerana nilai itu mencerminkan kualiti mereka.

Ahmad Rosli berkata kepentingan integriti turut dizahirkan dalam perundangan negara, khususnya apabila pelanggaran integriti sering dikaitkan dengan kesalahan rasuah.

Beliau berkata pelanggaran berkaitan integriti melibatkan rasuah diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang antirasuah.

Ahmad Rosli turut menekankan bahawa rakyat perlu berpegang kepada nilai yang kukuh, termasuk keikhlasan dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Tidak kira betapa mahir atau bijak seseorang itu, jika integriti tiada, orang itu boleh menjadi antisosial dan membawa masalah dan bukannya berguna kepada organisasi atau negara,” katanya.

Beliau berkata negara yang dibelenggu rasuah akan berhadapan dengan projek yang gagal, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan hakisan kepercayaan orang awam terhadap pihak berkuasa.

Sehubungan dengan itu, agensi seperti SPRM memainkan peranan penting bagi memastikan integriti ditegakkan demi membina negara yang maju dan berkesan menerusi penyampaian perkhidmatan awam yang cekap.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532870