EKONOMI

Kerajaan Laksana Analisis Kos-faedah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas - MITI

10/03/2026 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Penilaian menyeluruh termasuk analisis kos-faedah untuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) sedang dilaksanakan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan nasional dan mematuhi komitmen, obligasi serta ruang dasar Malaysia. 

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hasil kajian itu akan diangkat untuk perbincangan dan pertimbangan Jemaah Menteri sebelum memutuskan langkah-langkah seterusnya.

“Pada masa ini, kerajaan melalui MITI sedang meneliti skop dan implikasi langkah Amerika Syarikat (AS) secara menyeluruh, khususnya dari segi kesannya terhadap akses pasaran, kos perdagangan serta rantaian bekalan negara,” katanya melalui jawapan yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu penilaian kerajaan terhadap implikasi komitmen menerima piawaian dan akses pasaran AS ke atas daya saing industri tempatan.

MITI menegaskan bahawa ART yang ditandatangani pada 26 Okt 2025 masih belum berkuatkuasa dan sebarang komitmen berkaitan penerimaan piawaian termasuk akses pasaran masih tertakluk kepada proses serta peraturan domestik sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532847