AM

Sultan Nazrin Berkenan Berangkat Ke Majlis Nuzul Quran Peringkat Negeri Perak

06/03/2026 09:53 PM

SERI ISKANDAR, 6 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H/2026 di Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini. 

Majlis bermula dengan persembahan khas sajak Nuzul Al-Quran disusuli bacaan ayat suci al-Quran beserta terjemahan dan tahlil sebelum Sultan Nazrin berbuka puasa bersama dengan lebih 2,000 jemputan.

Baginda kemudian berkenan menunaikan solat maghrib, isyak serta tarawih secara berjemaah bersama-sama jemputan dan pelajar.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri MAIPk berjumlah RM12.6 juta kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 42,006 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf di seluruh Perak. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531288