JENAYAH & MAHKAMAH

Petisyen Ditolak, Anil Sandhu Kekal ADUN Kunak

05/03/2026 03:23 PM

KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengekalkan kemenangan Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 November lepas.

Keputusan itu disampaikan Hakim Amelati Parnell yang membenarkan bantahan awal dibangkitkan pihak responden.

Mahkamah mendapati petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Md Bustan @ Industan Lumantang untuk membatalkan keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) gagal mematuhi syarat mandatori di bawah Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Dalam penghakimannya, Amelati berkata mahkamah bersetuju pematuhan terhadap peruntukan terbabit merupakan syarat asas bagi membolehkan Mahkamah Pilihan Raya menjalankan bidang kuasanya.

 Beliau berkata kegagalan membentangkan petisyen dengan sempurna dan memperincikan fakta material mencukupi menjadikan petisyen itu cacat dari segi prosedur dan tidak berasas di sisi undang-undang, sekali gus boleh ditolak pada peringkat awal tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Md Bustan memfailkan petisyen pilihan raya dengan mendakwa berlaku pelanggaran undang-undang pilihan raya susulan penemuan beberapa kertas undi yang didakwa mempunyai nombor siri sama di satu saluran mengundi di Kunak, yang menurutnya menimbulkan keraguan terhadap integriti proses pengundian.

Mahkamah memerintahkan pempetisyen membayar kos kepada pihak responden iaitu sebanyak RM10,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, Pegawai Pilihan Raya Negeri Sabah serta Pegawai Pengurus Pilihan Raya manakala RM20,000 kepada Anil.

Dengan penolakan petisyen terbabit, keputusan pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kunak kekal seperti yang telah diwartakan sebelum ini.

Sementara itu, Anil yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah.

“Saya cukup berpuas hati dan lega dengan keputusan hari ini. Dengan ini, saya akan terus memberi fokus untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang sah di kawasan Kunak.

“Saya juga akan mengangkat mandat diberikan Kerajaan Perpaduan Sabah dan melaksanakan amanat BN dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, Anil yang berdepan saingan enam penjuru menang dengan majoriti 2,118 undi menewaskan penyandang Datuk Norazlinah Arif daripada Gabungan Rakyat Sabah, Kasman Karate (Perikatan Nasional), Roselih Lumayan (Parti Impian Sabah), Ismu Isyam Arsad (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan Datuk Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530686