AM

Semakin Ramai Senator Bahas MA63 Tanda Perkembangan Positif - Mustapha

04/03/2026 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud hari ini menzahirkan penghargaan kepada para senator termasuk dari Semenanjung yang aktif membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menyifatkan penglibatan mereka sebagai usaha penting menjadikan isu itu agenda nasional dan meningkatkan pemahaman rakyat terhadap teras pembentukan Malaysia.

“Saya lihat amat menarik, semakin ramai yang mahu membincangkan isu MA63 ini dan kita telah dapat mengangkatnya sebagai agenda nasional. Ada sebahagian senator ini bukan dari Borneo, daripada rakan-rakan kita di Semenanjung.

“Ini satu perkembangan yang baik untuk kita mula memaknai apa isu-isu berkaitan dengan MA63 yang menjadi teras kepada pembentukan Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi portfolio beliau di Dewan Negara hari ini.

Mustapha berkata untuk menambah baik platform rundingan rasmi MA63, kerajaan melakukan pelbagai usaha termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri, dan setakat ini 13 daripada 29 perkara yang dibincangkan telah diselesaikan termasuk sembilan dimuktamadkan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata kerajaan turut membangunkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di bawah MA63 yang dilancarkan pada 28 Jan lepas dan diintegrasikan secara dalam talian melalui portal rasmi BHESS (Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), dengan lebih 6,000 pengguna telah mengakses portal itu setakat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika penggulungannya berkata penubuhan Ombudsman Malaysia akan menjadi satu agensi tunggal yang menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) melalui proses peralihan yang terancang.

Beliau berkata dalam model baharu nanti, Ombudsman Malaysia akan menjadi Badan Berkanun Persekutuan yang bebas dari segi pelantikan, bebas mengurus, menyiasat aduan serta bebas memulakan siasatan atas inisiatif sendiri.

“Rang Undang-Undang Ombudsman yang sedang digubal pada masa ini akan diperuntukkan punca kuasa yang jelas merangkumi skop fungsi kuasa penguatkuasaan serta peruntukan sumber kewangan dan manusia yang mencukupi bagi membolehkan institusi ini berfungsi secara berkesan, bebas dan berintegriti,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530351