AM

Penambahbaikan RUU Asing Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Ambil Masa Tiga Bulan - Fahmi

04/03/2026 05:38 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Proses menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa RUU itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang bermula 16 Mac ini.

"Dijangka proses untuk meneliti pandangan, mengumpulkan maklum balas serta usaha untuk menambah baik rang undang-undang tersebut akan mengambil masa sekitar tiga bulan," katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat semalam.

Azalina membawa usul untuk merujuk RUU itu ke jawatankuasa berkenaan selepas bacaan kali kedua  bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU tersebut.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul tersebut dengan lebih suara bersetuju. 

Azalina berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu akan meneliti RUU tersebut termasuk berkenaan mekanisme kawal selia Pendakwa Raya.

“Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara tersebut serta menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan pindaan terhadap rang undang-undang ini dalam tempoh tiga bulan dan boleh melanjutkan tempoh sekiranya perlu,” katanya.

Jawatankuasa itu akan dianggotai Azalina sendiri sebagai pengerusi selain 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530345