EKONOMI

Komitmen Kepastian Perlesenan, MoU Mineral Kritikal Tidak Jejas Syarat Teknikal Ke Atas Lynas - MITI

04/03/2026 09:49 PM

KUALA LUMPUR, Mac 4 (Bernama) -- Komitmen Malaysia berkaitan Kepastian Perlesenan yang termaktub dalam Kenyataan Bersama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) (Artikel 5.2) dan Memorandum Persefahaman (MoU) Mineral Kritikal (Seksyen 3, Kawasan Kerjasama) tidak menjejaskan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan syarat teknikal ke atas Lynas Malaysia atau syarikat unsur nadir bumi (REE) lain yang bakal diluluskan pengoperasiannya di Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata MoU Mineral Kritikal yang ditandatangani oleh Malaysia serta Amerika Syarikat jelas menyebut bahawa bidang-bidang kerjasama antara kedua-dua buah negara merangkumi topik-topik berkaitan amalan kawal selia yang baik seperti memudahcara proses pengeluaran permit berkaitan industri REE, antaranya permit perlombongan, pembelian tanah serta lesen pengilangan.

“Kesepakatan ini termasuk dalam bentuk layanan yang adil dan saksama kepada pelabur, serta pelaksanaan projek yang mampan dan patuh kepada amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus. 

“Selain itu, kedua-dua negara komited untuk bekerjasama dalam memperkukuhkan sektor mineral kritikal selain memastikan penjualan hasil REE adalah ditentukan oleh pihak berkuasa atau kerajaan masing-masing,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini. 

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven yang ingin tahu adakah kedua-dua komitmen tersebut menjejaskan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan syarat teknikal ke atas Lynas Malaysia atau industri nadir bumi. 

Komitmen Kepastian Perlesenan termaktub dalam Kenyataan Bersama Perjanjian-Perjanjian Timbal Balas (ART) (Artikel 5.2), manakala MoU Mineral Kritikal pula adalah Seksyen 3, Kawasan Kerjasama.

Berhubung status rundingan antara Khazanah Nasional Bhd dan syarikat dari China dalam pembangunan industri REE, MITI berkata sehingga kini perbincangan masih lagi peringkat awal dan tiada perjanjian muktamad yang telah dimeterai.

“Hal ini kerana kerajaan China masih belum menamakan pihak yang akan mewakili negara berkenaan untuk melaksanakan kerjasama tersebut,” katanya. 

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa kerajaan telah memberi mandat kepada Khazanah Nasional sebagai pengantara utama untuk meneliti secara menyeluruh model kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan. 

“Penelitian tersebut merangkumi aspek daya maju komersial, perlindungan teknologi, struktur tadbir urus dan kawalan strategik serta keselarasan dengan kepentingan nasional,” katanya.

Berkaitan teknologi pengasingan berat unsur nadir bumi (HREE), MITI berkata setakat ini tiada pemindahan teknologi yang telah dimuktamadkan sama ada dari aspek skop, bentuk pelaksanaan mahupun garis masa. 

“Buat masa sekarang. pengeluaran HREE pada tahap komersil di dunia hanya dibuat oleh loji pemprosesan di negara China dan syarikat Lynas di Kuantan, Pahang,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530474