PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Pertikaian berhubung penamatan kontrak antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Digital Nasional Bhd (DNB) adalah isu kontrak komersial antara dua pihak dan tidak menjejaskan sasaran kerajaan untuk mencapai 95 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata dari segi objektif pelaksanaan rangkaian 5G, kerajaan telah mencapai kadar liputan 80 peratus yang membolehkan rangkaian kedua diwujudkan selaras dengan peralihan kepada model dwi-rangkaian.
“Kita tidak melihat isu antara dua pihak ini (TM dan DNB) akan menjejaskan pelaksanaan ke tahap 95 peratus bagi rangkaian 5G dalam masa-masa yang akan datang,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Fahmi berkata perkara itu melibatkan pertikaian kontrak komersial antara kedua-dua syarikat itu yang juga merupakan pemegang lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Saya berharap kedua-dua pihak dapat duduk untuk meneliti isu-isu yang dihadapi dan dapat diuruskan dengan baik," katanya.
Semalam, TM menjelaskan pihaknya telah melaksanakan hak kontraktual mengikut Perjanjian Akses 5G dengan mematuhi sepenuhnya syarat khusus mengenai penamatan awal serta keperluan yang berkaitan dengan model dwi-rangkaian 5G.
Syarikat telekomunikasi itu menegaskan notis penamatan itu adalah sah dan mengekalkan sepenuhnya segala haknya.
DNB dilaporkan telah menolak notis yang dikeluarkan TM untuk menamatkan perjanjian 5G, sambil menegaskan bahawa kontrak jangka panjang itu masih sah dan berkuat kuasa.
Menurut DNB, perjanjian itu berkuat kuasa sehingga Oktober 2032 dan mengandungi syarat tertentu untuk menentukan bagaimana penamatan awal boleh dilaksanakan.
Oleh itu, DNB menjelaskan bahawa TM tidak menggunakan haknya untuk menamatkan kontrak lebih awal selaras dengan syarat yang telah ditetapkan.
-- BERNAMA