KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilapor terkesan oleh perkembangan keselamatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) setakat ini, kata Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Beliau berkata kira-kira 8, 500 rakyat Malaysia kini berada di UAE termasuk yang menetap, transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan dan kesemua mereka yang telah berhubung dengan Perwakilan Malaysia dilaporkan selamat.
“Perwakilan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai beroperasi 24 jam setiap hari dan kami terus memantau keadaan dengan sangat rapat. Penting untuk keluarga di Malaysia ketahui bahawa rakyat Malaysia di UAE tidak bersendirian.
“Sila hubungi dan daftar dengan kami untuk kami memberikan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya ketika siaran langsung rancangan Malaysia Petang Ini, terbitan Bernama TV pada Rabu.
Mengenai pembukaan laluan udara selamat oleh kerajaan UAE, Tengku Sirajuzzaman mengingatkan penumpang untuk sentiasa mengemas kini maklumat peribadi dengan syarikat penerbangan, termasuk nombor telefon dan alamat e-mel terkini, bagi memastikan sebarang notifikasi dapat diterima dengan segera.
Beliau berkata penumpang juga diminta menyemak maklumat penerbangan secara berkala dan hanya hadir ke lapangan terbang apabila dimaklumkan oleh syarikat penerbangan bahawa penerbangan mereka telah disahkan beroperasi.
“Bagi penumpang yang terkandas, kerajaan UAE telah mengambil inisiatif untuk menempatkan mereka di hotel sementara menunggu penerbangan seterusnya selain turut memberikan baucar makanan,” katanya.
Tengku Sirajuzzaman turut menegaskan bahawa semua perwakilan diplomatik Malaysia di UAE beroperasi 24 jam untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas, dengan keutamaan diberikan kepada kes-kes mendesak dan golongan rentan.
“Setiap rakyat Malaysia yang menghubungi perwakilan sedang diberi perhatian dan juga diingatkan ia perlu disalurkan dengan betul..mungkin telefon pejabat kami tutup masa hujung minggu tapi kita ada yang nombor 24 jam dan e-mel,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini mungkin terdapat masalah hotel tidak mendapat maklumat terkini penajaan atau bantuan daripada kerajaan, justeru mereka yang terlibat boleh menghubungi kedutaan atau konsulat untuk mengemaskini maklumat.
“Pada masa sama, pegawai kami juga sedang menghubungi rakyat Malaysia secara berperingkat untuk pengesahan maklumat dan bantuan susulan bagi mereka yang sudah lama tidak mendaftar dan mengemaskini,” tambah beliau.
Bagi bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi boleh dihubungi di talian +971 50 6146894/ +971 2 4482 775 / +971 2 4482 776 atau e-mel: mwabudhabi@kln.gov.my; manakala Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, UAE dihubungi menerusi talian +971 4 3985 847 / +971 50 737 9196 (kecemasan) atau e-mel dxb.cons@kln.gov.my.
Semua rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di UAE diseru untuk segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan masing-masing melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyaluran bantuan sekiranya diperlukan.
Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan bahawa sebanyak 186 peluru berpandu balistik dikesan dilancarkan ke arah negara itu dengan 172 daripadanya berjaya dimusnahkan manakala 13 lagi jatuh ke laut dan satu peluru berpandu mendarat di dalam wilayah negara berkenaan ketika konflik di Timur Tengah memasuki hari kelima.
Selain itu, UAE turut merekodkan bilangan serangan terbanyak dengan 812 dron Iran dilancarkan, dengan 755 daripadanya berjaya dipintas, manakala 57 dilaporkan jatuh serta lapan peluru berpandu krus turut dikesan dan dimusnahkan.
-- BERNAMA