SUKAN

All England 2026: Dua Beregu Campuran Negara Pulang Awal

03/03/2026 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Hasrat dua beregu campuran negara untuk melangkah lebih jauh dalam saingan All England 2026 tidak kesampaian apabila kedua-duanya tersingkir seawal pusingan pertama di Utilita Arena Birmingham, hari ini.

Pasangan profesional negara Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang membuka tirai cabaran Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan beregu Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan selepas tewas 17-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Jimmy-Pei Jing kepada pasangan sama selepas tumpas pada Masters Jepun 2025.

Turut menerima nasib sama ialah satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas buat kali kedua berturut-turut dalam tiga pertemuan kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit itu, pasangan ranking ke-23 dunia berkenaan bermula dengan baik, namun gagal mengekalkan konsistensi sebelum tunduk 17-21, 19-21.

Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada empat lagi wakil Malaysia yang akan memulakan kempen masing-masing awal pagi esok waktu Malaysia iaitu beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; serta perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao.

Kejohanan All England 2026 dijadual berlangsung sehingga Ahad ini.

-- BERNAMA


 
 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530080