AM

Projek Tebatan Banjir Ambil Kira Faktor Perubahan Iklim - Fadillah

02/03/2026 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Reka bentuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) mengambil kira faktor perubahan iklim dalam pengiraan teknikal sebagai penambahbaikan dalam projek berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan itu bertujuan memastikan projek RTB lebih berdaya tahan terhadap impak perubahan iklim.

“Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek RTB yang merangkumi struktur-struktur mitigasi banjir seperti pembinaan ban sungai, tembok banjir, kolam takungan, pintu kawalan serta sistem pam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai langkah mengurus risiko banjir dan banjir termenung akibat luruan monsun yang dijangka berterusan hingga Mac 2026 serta penambahbaikan dan jumlah peruntukan untuk perubahan iklim, serta pengurusan banjir di kawasan berisiko tinggi terutama di Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sebanyak 140 projek RTB telah diluluskan termasuk projek baharu dan sambungan.

Beliau berkata di kawasan Pantai Timur, 29 projek bernilai RM9.377 bilion dikenal pasti dan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Selain itu, sebanyak 15 projek bernilai RM1.49 bilion di Sabah, sementara 10 projek bernilai RM3.34 bilion turut berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Sarawak.

Fadillah berkata JPS turut melaksanakan perancangan bersepadu melalui Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) dengan 14 PITB dikenal pasti di Pantai Timur manakala 12 lagi di Sabah dan Sarawak.

“Bilangan PITB akan terus meningkat berdasarkan tempoh sah pelan, perubahan guna tanah, pertambahan penduduk serta kekerapan dan intensiti hujan terkini,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko banjir termenung pula, beliau berkata JPS menempatkan 606 unit pam bergerak di seluruh negara melibatkan aset pam JPS bagi mempercepatkan proses pengepaman air keluar dari kawasan terjejas semasa kejadian hujan lebat berterusan.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan turut memperuntukkan kira-kira RM189.9 juta pada tahun ini bagi melaksanakan langkah pendek atau 'quick win' di seluruh negara termasuk kerja penyelenggaraan dan pengorekan sungai.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529380